Setiap bulan ada caj tambahan

Caj yang dikenakan kepada pelanggan tanpa disedari seperti tertera dalam bil telefon seorang pengguna baru-baru ini.
Caj yang dikenakan kepada pelanggan tanpa disedari seperti tertera dalam bil telefon seorang pengguna baru-baru ini.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - “Saya tidak pasti adakah talian yang saya gunakan terkena perangkap sindiket atau tidak tetapi yang pastinya setiap bulan ada pertambahan caj bayaran,” kata seorang pengguna perkhidmatan telco terkenal di Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Ehsan.

Ehsan berkata, talian yang digunakannya sering menerima caj tambahan hampir puluhan ringgit setiap bulan.

“Apabila disemak dalam bil telefon, syarikat telco menjelaskan bahawa saya ada menghantar beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) ke satu nombor di Amerika Syarikat.

“Satu SMS itu saya tak ingat berapa kadar bayaran yang dicaj. Bukan satu SMS tapi berkali-kali menyebabkan caj bertambah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Serik dengan situasi itu, Ehsan menghubungi bahagian khidmat pelanggan perkhidmatan telco itu bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana pegawai khidmat pelanggan itu memberi jalan penyelesaian dan kadar bayaran yang dicaj telah dikembalikan secara sekaligus menerusi bayaran bil selepas itu.

Sementara itu, seorang lagi pengguna perkhidmatan telco yang hanya mahu dikenali sebagai Danial turut berkongsi kisah kredit nombor telefon prabayarnya yang sering menyusut walaupun baru sahaja ditambah nilai.

“Kisah ini berlaku dua tahun lepas. Setiap kali saya tambah nilai kredit prabayar, tiba-tiba dapat SMS kredit ditolak walaupun langsung tidak diguna kan.

Artikel Berkaitan:

“Saya pelik kerana tidak pernah membuka mana-mana SMS atau menekan pautan yang diberikan tetapi ia diperbaharui secara automatik. Setiap kali saya melakukan tambah nilai, setiap kali itulah kredit prabayar ditolak,” katanya.

Danial berkata, dia tidak pasti sama ada itu taktik daripada syarikat telco berkenaan atau terdapat sindiket yang sengaja mengambil kesempatan.

Menurutnya, walaupun berkali-kali menghubungi bahagian khidmat pelanggan perkhidmatan telco terbabit tetapi masalahnya tetap tidak dapat diselesaikan.

“Saya akhirnya mengambil keputusan untuk menukar ke perkhidmatan telco lain,” katanya lagi.