X

Kindly register in order to view this article
!

Cadang guna Akta POCA terhadap penganjur lumba haram

Gambar hiasan. - Foto sumber internet.
A
A

KUALA LUMPUR - Bukit Aman bercadang menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba haram.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, langkah itu disaran ekoran kegiatan lumba haram yang semakin berleluasa dan di bawah akta tersebut, penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah.

“Tindakan POCA ini juga mampu memberikan kesedaran kepada mereka sebelum berbuat sesuatu yang melanggar undang-undang.

“Lagi pun semua pesalah yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti merempit yang ditahan juga akan direkodkan di dalam sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya orang ramai lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan aktiviti itu,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, rekod itu akan memberikan reputasi buruk terhadap pesalah terutama golongan muda yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

"Jadi apabila anak muda yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan rempit atau berkaitan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya, adalah sukar untuk mereka memohon pekerjaan satu hari nanti kerana dikhuatiri akan ditolak disebabkan rekod yang mereka ada," katanya.

Azisman turut menasihati semua pihak, terutama anak muda, supaya sedar dan berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan seperti ini.

Beliau memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seperti lumba haram kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Azisman juga berkata polis akan meningkatkan pemantauan terhadap mana-mana bengkel atau individu yang didapati terlibat dalam aktiviti mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

"Kita difahamkan ada juga yang mengubah motosikal mereka sehingga tidak mempunyai brek demi untuk membuat aksi yang berbahaya," katanya.

Beliau berkata sebanyak 358 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam satu operasi tertutup JSPT di Lebuhraya Pantai Timur 1 menghala ke Kuala Lumpur pada kira-kira 2 petang pada Ahad lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus