34 pegawai kanan, rendah polis dibuang kerja - Bukit Aman

Azri Ahmad - Foto Bernama
Azri Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 496 pegawai kanan dan pegawai rendah polis dikenakan tindakan tatatertib termasuk 34 telah dibuang kerja sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu 309 diberi amaran, denda (88), lucut hak emolumen (51), tangguh pergerakan gaji (lapan), turun gaji (tiga), turun pangkat (tiga).

"PDRM tidak pernah berkompromi terhadap mana-mana pegawai kanan atau pegawai rendah polis yang terlibat dalam sebarang kegiatan rasuah, salah laku dan salah guna kuasa.

"Kami ada data-data menunjukkan PDRM tidak berkompromi terhadap warga PDRM yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang negara,” katanya pada sesi perjumpaan Ketua Polis Negara bersama Ketua Editor agensi media di Menara 1, Bukit Aman, di sini, pada Khamis.

Azri berkata, tahun lepas PDRM telah mengenakan tindakan buang kerja ke atas 154 pegawai kanan dan rendah polis, amaran (891), denda (232), lucut hak emolumen (119), tangguh pergerakan gaji (38), turun gaji (17), turun pangkat (15),

Pada tahun 2021 pula PDRM telah mengenakan tindakan buang kerja ke atas 117 pegawai kanan dan rendah polis, amaran (913), denda (316), lucut hak emolumen (150), tangguh pergerakan gaji (34), turun gaji (16) dan turun pangkat (25).

"Kesalahan yang dilakukan warga PDRM sekiranya jelas daripada segi melanggar peraturan dan kami terima laporan, polis akan buka kertas siasatan.

"Sekiranya warga PDRM terlibat dengan rasuah maka SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan buat siasatan manakala JIPS akan buka kertas siasatan daripada segi tatatertib,” katanya. - Bernama