Cuepacs cadang guna kamera badan, elak tohmahan unsur rasuah

Adnan (dua dari kiri) meninjau operasi petugas-petugas Jabatan Imigresen di KLIA 1 dalam lawatannya pada Selasa.
Adnan (dua dari kiri) meninjau operasi petugas-petugas Jabatan Imigresen di KLIA 1 dalam lawatannya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disyorkan menggunakan kamera badan pada petugas pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi meningkatkan keselamatan dan pematuhan integriti dalam kalangan anggota yang bertugas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, dengan adanya kamera badan, pegawai akan sentiasa berada dalam keadaan sedar bahawa gerak geri mereka dirakam dan bersikap professional ketika menjalankan tugas serta tanggungjawab.

Menurutnya, klip rakaman kamera badan itu juga memudahkan siasatan sekiranya berlaku sebarang tohmahan mengenai pecah amanah atau salah laku sepertimana yang tular baru-baru ini.

"Kami amat kesal dengan tuduhan dan penularan video tersebut kerana menyebabkan persepsi tidak baik khususnya kepada perkhidmatan awam sedangkan anggota sentiasa bertungkus lumus dalam memastikan keselamatan negara terjaga.

"Bagi kami tindakan tegas perlu diambil sekiranya benar-benar berlaku rasuah dan pihak yang membuat tuduhan itu perlu tampil kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jangan buat tohmahan serta tuduhan liar, itu dan ini, ia tidak adil bagi kami," ujarnya.

Adnan melakukan lawatan ke KLIA1 bagi menyantuni serta meninjau operasi petugas-petugas Jabatan Imigresen di KLIA 1 pada Selasa
Adnan melakukan lawatan ke KLIA1 bagi menyantuni serta meninjau operasi petugas-petugas Jabatan Imigresen di KLIA 1 pada Selasa

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke KLIA1 bagi menyantuni serta meninjau operasi petugas-petugas Jabatan Imigresen pada Selasa.

Pada Ahad, pihak polis memaklumkan sedang menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di KLIA.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebelum ini membuat kenyataan mendakwa kehadirannya ke KLIA telah membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam pada itu, Adnan berkata, setiap tatakelola di pintu masuk antarabangsa di KLIA dijalankan secara tertib dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

"Justeru, tidak timbul dalam konteks pegawai kami melangkaui SOP yang telah ditetapkan. Cuepacs ingin menegaskan bahawa pegawai imigresen yang bertugas pada hari kejadian menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan negara ini terkawal daripada pencerobohan pelancong atau pendatang asing tidak mengikut undang- undang negara.

"Kami bantah sekeras-kerasnya ungkapan unsur-unsur rasuah dalam proses menerima kemasukan pelancong luar melalui Jabatan Imigresen sepertimana yang telah dibuat tuduhan liar oleh pihak tertentu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan memberitahu, pihaknya berharap kerajaan dapat melihat semula skim pegawai imigresen.

"Pada masa sama, kerajaan juga perlu melakukan penambahbaikan dalam bentuk elaun penguatkuasaan yang belum ada lagi.

"Sebahagian agensi telah ada jadi elok lah ia diseragamkan kepada semua agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen," jelasnya.