Penjara empat tahun akibat bakar dapur ibu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihukum penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan melakukan khianat dengan membakar dapur rumah ibunya kerana enggan memberikan wang, Februari lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohd Khalid memerintahkan tertuduh, Mohd Shalisham Mohd Salim, 43, menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 28 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan khianat di sebuah rumah di Wangsa Maju di sini dengan menggunakan api dengan maksud menyebabkan kebakaran dan membinasakan tempat yang dijadikan dapur rumah milik Noriah Ngah Ramli, 70.

"Dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan hendaklah dihukum penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda," kata Emelia Kaswati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

Noor Dayana kemudian memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dan mengambil kira kerugian mangsa dan isu keselamatan orang ramai dari segi tempat kejadian yang kemungkinan api boleh merebak.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dan memohon maaf atas kesalahannya itu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian jam 3.30 petang pada 25 Februari lalu, pengadu yang merupakan adik mangsa bersama ibunya yang berada di ruang tamu telah terhidu bau asap sebelum jiran mengetuk rumah mereka.

Jiran kemudian memaklumkan terdapat kebakaran pada bilik tertuduh.

Berdasarkan maklumat pengadu, berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan ibunya yang meminta wang sebelum tertuduh memegang pemetik api dan membakar tilam.

Tertuduh kemudian ditangkap pada 28 Februari lalu dan dibawa Ke Balai Polis Wangsa Maju di sini.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menggunakan pemetik api dengan membakar tilam sehingga merebak ke bahagian dapur.