Dua peniaga ikan dicekup polis

Omar Bakhtiar
Omar Bakhtiar
A
A
A

BAGAN SERAI - Helah dua peniaga ikan mencuri bekalan ikan peniaga ikan lain yang ditinggalkan pembekal di pasar awam sekitar Pulau Pinang dan daerah Kerian mengundang padah apabila kedua-dua suspek dicekup polis dalam kejadian 18 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lebih kurang jam 2.30 petang, semasa anggota Balai Polis Parit Buntar membuat tugas ronda cegah jenayah di kawasan Parit Buntar, mereka ternampak sebuah kereta Perodua Myvi warna putih bernombor pendaftaran palsu meletakkan kenderaan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan, Pasar Awam Parit Buntar.

Menurutnya, hasil pemantauan terhadap kereta itu mendapati kereta itu kemudiannya bergerak memasuki kawasan Pasar Awam Parit Buntar.

"Anggota polis berkenaan bersama saksi polis kemudiannya nampak pemandu kereta turun dari kereta dan masuk ke dalam pasar dan tidak lama kemudian telah keluar sambil mengangkat sebuah tong putih dari dalam pasar itu.

"Anggota polis itu kemudiannya membuat serbuan dan suspek berkenaan tiba-tiba cuba melarikan diri namun berjaya ditahan susulan itu.

"Pada masa sama, polis turut menahan seorang lagi suspek berada di dalam kereta di bahagian tempat duduk penumpang hadapan," katanya dalam sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, hasil serbuan itu membolehkan polis merampas 21.05 kilogram ikan kembung dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dan bernombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berusia 22 hingga 37 tahun, turut terlibat dengan lima lagi kes kecurian ikan berserta tong ikan di lokasi sama di Pasar Awam Parit Buntar bermula bulan Ogos hingga Disember 2018 dengan nilai keseluruhan kecurian RM4,200.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek dikenal pasti merupakan peniaga ikan di Pasar Awam Penaga, Pulau Pinang dan menggunakan hasil curi untuk dijual semula kepada pelanggan di pasar itu.

"Kedua-dua suspek turut dipercayai melakukan aktiviti jenayah sama di sekitar pasar awam di Pulau Pinang dengan modus operandi mereka akan menunggu sehingga lori membawa bekalan hasil laut selesai menurunkan bekalan ditempah peniaga pasar sebelum mencurinya pada waktu awal pagi," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah melibatkan kes dadah dan kecurian motosikal, manakala seorang lagi suspek ditangkap tiada rekod jenayah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan kedua-dua suspej dituduh di Mahkamah Majistret Taiping pagi ini," katanya.