Menagih khidmat diaspora Malaysia

A
A
A

SEJAK sekian lama, negara Malaysia sentiasa melahirkan anak muda yang bijak serta berkebolehan dalam ilmu dan kepakaran masing-masing. Kita semua maklum, bakat anak muda Malaysia sudah lama diiktiraf dalam pelbagai platform antarabangsa. Ada yang sudah berkhidmat di NASA, ada yang menjadi tenaga akademik di Universiti Oxford. Malah, ada juga yang menjadi pemain industri seni Hollywood sehingga mengutip jutaan Dolar keuntungan.

Ini semua adalah anugerah besar kepada negara. Setiap tahun, saya juga melihat anak Malaysia dinobatkan dalam senarai Forbes. Melihat satu demi satu individu yang meraih kejayaan besar ini memang membuatkan kita semua rasa besar hati dan jiwa.

Namun, ramai juga anak Malaysia yang berkhidmat di luar negara sehingga bertahun-tahun lamanya. Malah, mereka juga telah membina kehidupan berkeluarga di luar sana.

Waktu saya menjadi menteri, saya akan berjumpa dengan diaspora Malaysia di luar negara setiap kali ada lawatan kerja rasmi. Memang ramai.

Saya tidak dan tak akan sesekali menyalahkan rakyat Malaysia yang tidak pulang berkhidmat di negara luar. Jauh sekali ingin menghalang rezeki yang diberi Tuhan untuk mereka hidup berkeluarga di luar negara.

Soalnya, apakah langkah dan inisiatif kerajaan untuk memanggil mereka (diaspora Malaysia) untuk pulang ke tanah tumpah darah sendiri? Bagi saya, jika ingin dan tagih khidmat rakyat untuk pulang ke negara, kita harus bantu sediakan yang terbaik kepada mereka.Pertama, kita harus lihat apakah sentimen dan cabaran untuk diaspora pulang semula ke negara. Faktor paling utama adalah imbuhan yang tidak sesuai (atau terlalu rendah) dan peluang pekerjaan yang sangat terhad di Malaysia.

Bagi saya, ini adalah cabaran kebanyakan negara membangun untuk menarik semula rakyat mereka yang sudah biasa berkhidmat di negara maju. Sudah tentu, pendapatan dan imbuhan di Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara-negara maju.

Tetapi, kerajaan boleh memberikan banyak insentif lain yang bersesuaian. Contohnya, tambahan potongan cukai pendapatan individu. Permudahkan majikan negara untuk mengambil dan memberi pekerjaan kepada diaspora Malaysia untuk pulang berkhidmat. Tambah inisiatif untuk keluarga individu diaspora untuk menetap di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu sebagai kerajaan, itu adalah langkah yang boleh diambil dan dipraktikkan. Kurangkan kerenah birokrasi agensi kerajaan juga penting. Kita berikan kemudahan kepada mereka untuk lebih suka dan cenderung berkhidmat dalam negara.

Kedua, kita juga harus lihat kesungguhan kerajaan untuk menarik mereka pulang ke negara asal. Jika diikutkan rekod negara, Malaysia mempunyai kelemahan untuk memberi tawaran yang terbaik bagi menarik diaspora pulang ke Malaysia.

Tengok sahajalah insiden pemecatan bekas CEO dan Presiden Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalil Rasheed. Beliau ini adalah contoh diaspora negara yang berkhidmat di luar negara dan meraih sejuta satu pengalaman kerja dalam menguruskan aset.

Namun, siapa sangka bahawa negara yang memanggil beliau pulang inilah yang akhirnya mengetepikan beliau daripada berkhidmat kepada negara.Sebab itu saya risau dengan iltizam dan kesungguhan kerajaan dalam menarik diaspora untuk pulang ke negara Malaysia.

Ketidakstabilan dalam pembentukan polisi terbaik untuk pekerja Malaysia, keengganan untuk membantu anak-anak Malaysia membina kehidupan di sini, kurangnya komitmen untuk menaikkan siling gaji kepada pekerja kebanyakan di Malaysia telah membuatkan ramai takut untuk pulang berkhidmat di dalam negara.

Saya percaya mana-mana individu yang dilayan seperti Jalil Rasheed juga pasti sudah tawar hati. Sebab itu, saya tidak pernah menyalahkan diaspora yang tidak mahu pulang. Mereka rindukan Malaysia. Tetapi, jika kerajaan sendiri tidak berusaha menarik mereka untuk pulang berkhidmat kepada negara, salah siapa akhirnya?

* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ialah Ahli Parlimen Muar dan Ketua Armada Bersatu