‘Mat Saleh’ tidak boleh lupa kereta api lama negara

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SEPERTI mana negara-negara lain yang mempunyai perkhidmatan rel, Malaysia tidak ketinggalan mendapat perhatian masyarakat luar.

Minat pelancong asing terhadap sistem perkhidmatan rel negara dikongsi bersama Merak Jalanan yang ketika itu turut bersama untuk perjalanan ke utara.

Sepanjang lebih tiga jam perjalanan, pelancong dari Irish yang dikenali Khaty merasa kagum dengan kemajuan dan kecanggihan kereta api elektrik ETS (Electric Train Service) yang dinaikinya.

Khaty yang pernah tinggal di Malaysia pada awal tahun 70-an kembali mengimbau kenangan bahawa dia masih ingat kereta api lama yang tingkapnya mempunyai palang besi dan tempat duduk beralaskan kayu.

Menyingkap kisah lama kehidupannya di negara ini, Khaty menceritakan dia masih ingat bapanya selalu menaiki tren ke Batu Gajah kerana urusan pekerjaan.

Bapanya adalah jurutera kapal korek bijih timah di kawasan Tronoh dan Kampar pada sekitar tahun 70-an.

Jelasnya walaupun waktu itu tempoh perjalanan kereta api dari Kuala Lumpur ke Batu Gajah agak lama, namun ia seronok melihatkan penumpang saling berganti setiap kali tiba di perhentian stesen dan masih segar teringat penjaja kuih menjerit menjual kuih dan nasi lemak di tepi pintu tren.

Khaty turut menceritakan bagaimana bunyi loceng berperanan sebagai isyarat untuk pemandu lokomotif memulakan perjalanan disusuli bunyi kuat geseran roda pada landasan.

Merak Jalanan agak terperanjat apabila Khaty bertanya mengenai laluan ETS yang tidak lagi menempuh stesen perhentian di Tanjung Rambutan. Merak Jalanan tiada jawapan kepada soalan itu.

Dipendekkan cerita, Merak Jalanan kagum kerana pelancong luar seperti Khaty begitu mengambil berat perkembangan kereta api negara ini.

Rakyat negara ini patut mencontohi pelancong Irish yang begitu menghargai pengangkutan darat tertua ini.