Penyelia kilang didenda RM6,000 buat hantaran jelik

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap Koh Teen Ern, 37, kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di Facebook pada Disember tahun lalu.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap Koh Teen Ern, 37, kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di Facebook pada Disember tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penyelia kilang perabot didenda RM6,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik pada Disember tahun lalu.

Koh Teen Ern, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama tiga bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Teen Ern didapati menggunakan laman profil Facebook ‘Tim Koh’ secara sedar, memulakan penghantaran jelik itu dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan tersebut dilakukan pada jam 2.47 petang, 20 Disember 2019 hingga 9.56 pagi 21 Disember.

Kenyataan Teen Ern itu dibaca di laman Facebook Khai Bale pada jam 3.30 petang, 21 Disember tahun yang sama.

Mengikut kesalahan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan sehingga tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi memohon mahkamah memberi hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana telah mendatangkan kemarahan kepada umat Islam.

“Hukuman itu akan memberi pengajaran dan contoh kepada rakyat Malaysia agar lebih sensitif serta berhati-hati jika mahu menyuarakan pendapat di media sosial kerana ribuan pelayar dapat mengakses hantaran tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Wong Chiang Kiat merayu agar anak guamnya diberi hukuman yang ringan dengan alasan hantaran berkenaan merupakan terjemahan daripada bahasa Mandarin yang mungkin mempunyai makna berbeza.