'Tak sangka video kematian petanda emak pergi selamanya'

Ahmad Pauzi bersama isterinya (kanan) dan adiknya menunjukkan video dikongsi ibunya sebelum terbabit dalam kemalangan di Jalan Parit 7 Ban 2 pada Isnin lalu.
Ahmad Pauzi bersama isterinya (kanan) dan adiknya menunjukkan video dikongsi ibunya sebelum terbabit dalam kemalangan di Jalan Parit 7 Ban 2 pada Isnin lalu.
A
A
A

SEKINCHAN - Seorang wanita yang maut merempuh anjing selepas pulang dari tempat kerja sempat berkongsi video berkaitan kematian dalam WhatsApp keluarganya dua hari sebelum terbabit dalam kemalangan di Jalan Parit 7 Ban 2, di sini Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Zainah Zakaria, 49, yang menunggang motosikal bersendirian jenis Honda Wave mengalami kecederaan serius di kepala.

Bagaimanapun Zainah meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, petang Khamis lalu.

Anaknya, Ahmad Pauzi Jamaludin, 32, berkata, dia pelik dengan sikap Allahyarham emaknya sebelum dijemput Ilahi apabila sering menghantar video berkaitan kematian.

"Tak sangka pula, video itu menjadi petunjuk emak ingin menemui Ilahi buat selamanya," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Pauzi berkata, rakan sekerja Allahyarham emaknya juga ada memaklumkan emaknya menyatakan ingin 'berehat' dan tidak mahu lagi bekerja di kilang pembuatan elektrik terbabit.

"Rakan arwah emak beritahu emak tak nak lagi datang kerja dan ingin pulang ke rumah buat selamanya, tak sangka kata-kata itu menjadi kenyataan," katanya yang memaklumkan Allahyarham emaknya bekerja di kilang itu lebih 20 tahun lalu.

Ahmad Pauzi yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan isterinya, Muhairah Mustafar, 38, selepas mendapat maklumat daripada saudara menerusi aplikasi mesej di Facebook.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia dan isteri kemudian bergegas ke HTAR Klang untuk menziarahi emaknya yang koma di hospital terbabit.

"Kami reda dengan pemergian arwah dan berdoa agar emak ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diredai ALLAH," katanya.