Covid-19: Kes baharu kekal angka dua digit

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jangkitan koronavirus (Covid-19) di Malaysia kekal kepada angka dua digit apabila 18 kes positif wabak itu dilapor hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif dalam negara sebanyak 8,634 kes dengan kebolehjangkitan 195 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 18 kes itu, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Daripada 14 kes penularan dalam negara (pula), kesemua kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes dalam kalangan warganegara Malaysia.

"Sembilan adalah kes saringan ulangan bagi Kluster Pedas, Negeri Sembilan; dua kes saringan Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Selangor; dua di Sabah iaitu satu kes saringan ke atas banduan sebelum dibebaskan dari penjara dan satu kes ‘Severe Respiratory Acute Infection’ (SARI) dari Klinik Kesihatan ke hospital manakala satu kes di tapak pembinaan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 10 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif pulih adalah sebanyak 8,318 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, dua kes positif jangkitan itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 121 kes iaitu 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 60,298 bukan warganegara Malaysia disaring setakat semalam dan daripada jumlah itu, 2,575 kes (4.3 peratus) dikesan positif Covid-19; 57,441 kes (95.3 peratus) adalah negatif dan 282 kes (0.4 peratus) masih menunggu keputusan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes positif dalam kalangan bukan warganegara pula sebanyak 105 kes iaitu 4.1 peratus masih dalam rawatan dan 2,465 kes atau 95.7 peratus telah pulih dan dibenarkan discaj manakala jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak lima kes iaitu 0.2 peratus.

“Pada hari ini, majoriti kes positif yang dilaporkan adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia iaitu sembilan kes positif adalah saringan ulangan daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan dan Melaka. Mereka telah dikuarantinkan kerana terdedah kepada kes positif sebelum ini,” katanya.

Sehingga hari ini, Dr Noor Hisham berkata, seramai 957 daripada kluster itu disaring dan 326 kes iaitu 34.1 peratus dikesan positif Covid-19 dan daripada jumlah itu, 312 kes atau 95.7 peratus adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

Mengambil kira Malaysia yang kini dalam fasa pemulihan, beliau berkata, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan untuk setiap sektor antaranya majikan perlu memainkan peranan memastikan SOP dilaksana dengan betul dan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengambil langkah pencegahan Covid-19 khususnya dalam kalangan warga asing. - Bernama