FAMA jual labu RM1 sebiji

Kakitangan FAMA Pekan, Abdul Salim Mohd Ali (kiri) dan Anuar Mansor menunjukkan labu yang dijual pada harga RM1 sebiji di Pasar Tani Kekal Bandar Dara, Chini hari ini.
Kakitangan FAMA Pekan, Abdul Salim Mohd Ali (kiri) dan Anuar Mansor menunjukkan labu yang dijual pada harga RM1 sebiji di Pasar Tani Kekal Bandar Dara, Chini hari ini.
A
A
A

PEKAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang giat mengadakan promosi menjual labu serendah RM1 sebiji di Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh Pahang.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasinya, Shabuddin Mohd Nor berkata, hasil pertanian itu turut dihantar ke FAMA Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka serta Selangor dan kini lebih 50 tan sudah diagihkan secara berperingkat sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, usaha tersebut dilakukan untuk membantu 65 pekebun labu di daerah Pekan dan Rompin bagi mengelak kerugian teruk selepas mendapati pekebun tidak dapat memasarkan hasil pertanian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pihak kita cuba bantu 65 pekebun yang berdepan masalah ini dengan membeli hasil pertanian mereka.

"Langkah ini diambil bagi memastikan mereka (pekebun) tidak berdepan dengan kerugian," katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kekal, Bandar Dara, Chini hari ini.

Beliau berkata, FAMA membeli kesemua labu milik pekebun pada harga 70 sen sekilogram dan setakat ini, pihaknya menerima lima hingga 10 tan labu dan jumlah berkenaan dijangka bertambah.

"Kami menjangkakan membeli lebih 300 tan labu manis hasil keluaran pekebun di Pekan dan Rompin. Aktiviti belian setiap minggu mula dilakukan 20 Mei lalu," katanya.

Beliau berkata, pengeluaran labu di dua daerah berkenaan bertambah sehingga dua kali ganda pada musim kali ini, namun faktor permintaan rendah menyebabkan pasaran kini agak perlahan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kebanyakan pekebun yang mengusahakan tanaman labu adalah pesawah kerana sebaik selesai musim menuai, mereka akan menanam labu di atas petak sawah.

"Aktiviti penanaman padi di dua daerah berkenaan dilakukan sekali setahun dan bagi memastikan lambakan labu tidak terus berlaku selepas ini, FAMA mengambil keputusan menawarkan pekebun terbabit sebagai peserta ladang kontrak FAMA.

"Mereka yang berminat boleh menerima tawaran itu dan mendapat beberapa kemudahan seperti semua hasil labu mereka dibeli FAMA mengikut harga lantai, pengangkutan dan khidmat nasihat termasuk penyusunan jadual penanaman setiap tahun," katanya.