9 premis diberi nasihat tidak patuh SOP: Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sembilan premis perniagaan diberi nasihat kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 1,359 premis pula mematuhi SOP ditetapkan daripada keseluruhan 1,368 premis diperiksa melalui pemeriksaan khas Pematuhan SOP itu yang dijalankan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk jarak sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penguatkuasa KPDNHEP juga membuat pemantauan harian terhadap 25 jenis bekalan barangan di 845 premis perniagaan termasuk peruncit (639), pemborong (175) dan pengilang (31), semalam.

Jelasnya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

Ismail Sabri memberitahu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan kerana ia dijamin mencukupi," katanya.

Mengenai pematuhan PKPP, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan kesemuanya dikenakan kompaun, semalam.

Artikel Berkaitan:

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti karaoke atau pusat hiburan keluarga (satu), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarak sosial (satu) dan aktiviti melanggar SOP (dua)," katanya.

Berhubung kawalan sempadan negara, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, tiga warganegara asing ditahan semasa sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, beliau berkata, 22 operasi sanitasi awam meliputi 18 zon di enam negeri antaranya Sabah, Melaka dan Terengganu dijalankan semalam.

Dalam perkembangan lain, seramai 454 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam dan daripada jumlah tersebut, 452 individu diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala dua lagi dibawa ke hospital.

“Seramai 148 individu pula telah memasuki sempadan negara di Johor dan kesemua mereka diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah.

"PDRM telah membuat 427 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP ditetapkan," katanya. - Bernama