Tabung Haji: Apa yang perlu anda tahu

Idea luar biasa Prof Diraja Ungku Aziz mengasaskan penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.
Idea luar biasa Prof Diraja Ungku Aziz mengasaskan penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.
A
A
A



TERTUBUHNYA
Lembaga Tabung Haji (TH) hingga gah seperti ketika ini adalah hasil idea seorang tokoh ekonomi Melayu-Islam terkenal Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menerusi kertas kerja bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji ditulis beliau pada 30 September 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau ketika itu pensyarah ekonomi di Universiti Malaya (UM) mengkaji bagaimana orang Melayu menyimpan duit untuk menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Prof Ungku Aziz mencadangkan penubuhan sebuah badan yang boleh menyimpan wang dan menguruskan perjalanan bakal haji ke Mekah, pada masa sama badan tersebut akan memberi pembahagiaan keuntungan bukan pembayaran bunga (riba) kepada penyimpan.

Prof Diraja Ungku Aziz ketika muda mencetuskan idea hingga tertubuhnya Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini. - Sumber: ummemory.um.edu.my
Prof Diraja Ungku Aziz ketika muda mencetuskan idea hingga tertubuhnya Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini. - Sumber: ummemory.um.edu.my

Rentetan idea luar biasa itu maka Lembaga Tabung Haji ditubuhkan pada tahun 1969. Penubuhan berkenaan adalah hasil dari gabungan antara Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji. Gabungan berkenaan dinamakan sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) sebelum ditukar nama kepada Lembaga Tabung Haji pada tahun 1995.

Menjejaki usia setengah abad atau lima dekad pada tahun ini, Lembaga Tabung Haji atau lebih dikenali sebagai Tabung Haji (TH) memainkan peranan penting sejak awal penubuhannya dalam mendidik masyarakat menabung di usia muda di organisasi patuh syariah sebagai persiapan menunaikan haji.

Sebelum wujudnya Lembaga Tabung Haji, tiada institusi kewangan Islam untuk umat Islam di negara ini mengumpul wang bagi menanggung kos perbelanjaan menunaikan haji.

Walaupun ketika itu sudah wujud beberapa bank di negara ini, umat Islam enggan menabung dengan perbankan konvensional untuk tujuan mengerjakan ibadat haji.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Skandal melanda Tabung Haji: Selamatkah wang pendeposit?]

Mereka mahu memastikan tabungan mereka bebas dari sebarang unsur dan amalan riba agar haji yang diperolehi nanti adalah haji mabrur.

Idea penubuhan PWSBH oleh Prof Ungku Abdul Aziz kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah memacu langkah pertama dengan tertubuhnya PWSBH di bawah Undang-undang No. 34, 1962, pada tahun 1963. Perbadanan itu adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Mulai 30 September 1963, PWSBH melakar sejarah dengan membuka kaunter menerima tabungan daripada bakal haji. Ketika mula beroperasi pada 1963, seramai 1,281 bakal haji membuka akaun mereka dengan tabungan berjumlah RM46,610.


Keluarga dan sahabat handai menghantar jemaah menaiki kapal untuk berlepas ke Tanah Suci Makkah.
Keluarga dan sahabat handai menghantar jemaah menaiki kapal untuk berlepas ke Tanah Suci Makkah.

Ketika itu, tujuan utama mereka adalah semata-mata untuk memastikan simpanan mereka terjamin keselamatannya dan bebas daripada riba untuk membolehkan mereka melengkapkan Rukun Islam dan memperolehi haji mabrur. Pada masa itu, tiada sama sekali idea akan meraih bonus atau dividen.

Keyakinan yang dipamerkan para bakal haji ini menjadi pendorong kepada PWSBH untuk terus menambahbaik perkhidmatan demi memenuhi salah satu fardu kifayah.

Sejak itu, ia terus berusaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menggunakan kemudahan menabung yang disediakan kerajaan untuk memastikan simpanan mereka sentiasa halal dan selamat.

Gabungan PWSBH dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji, yang ditubuhkan lebih awal pada 1951 dan beroperasi di Pulau Pinang adalah bagi memantapkan lagi peranan dan aktiviti TH.

Dengan tertubuhnya TH, urusan ibadat haji umat Islam negara ini menjadi lebih mudah dan teratur. Malah, bagi mereka yang pertama kali ke Tanah Suci pun tidak perlu bimbang kerana TH mengurus semua keperluan mereka.

Ini termasuk perkara berkaitan pasport, visa haji, pengangkutan, penginapan di Makkah, Madinah, Mina dan Arafah serta penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadat haji.

Sebagai sebuah institusi Haji terbesar negara yang menguruskan deposit melebihi RM73 billion sehingga tahun 2017, TH berusaha untuk memperkasa ekonomi umat Islam di Malaysia dengan memanfaatkan dana dan sumber sedia ada.

TH mempunyai lebih daripada 9 juta pendeposit dan 125 cawangan dengan hampir 10,000 ‘touch-points’ di seluruh negara. TH juga mempunyai satu pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah bidang kuasa Konsulat Malaysia.

Yayasan Tabung Haji (YTH) pula ditubuhkan pada 2016 untuk melaksanakan, antara lain, bantuan kemanusiaan dan menyumbang kepada golongan kurang berkemampuan, miskin dan yang memerlukan, di mana TH menyumbang sebanyak RM7 juta kepada program tersebut.