X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh suspek ditahan kes culik, bunuh Datuk Seri

Salah seorang suspek dibawa ke lokasi mangsa disembunyikan di Taman Kosaso hari ini.
A
A

HULU SELANGOR - Seramai tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dalam kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang, Bestari Jaya dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 50-an.

Menurutnya, polis berjaya memberkas kesemua suspek sejak semalam bermula jam 11 pagi di sekitar Selangor.

"Hasil soal siasat, salah seorang suspek telah memaklumkan kepada polis berhubung penemuan lokasi mayat dan sebuah rumah di Taman Kosaso di sini yang digunakan untuk menyembunyikan mangsa.

"Ketika ditemui kira-kira jam 9 pagi tadi, mangsa sudah mula mereput. Polis juga membawa suspek ke rumah ini bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi mangsa disembunyikan di sebuah rumah Taman Kosaso di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Seri diculik ditemukan mati dalam belukar

Fadzil berkata, ahli perniagaan berusia 55 tahun yang terlibat dalam pembangunan hartanah itu dilaporkan diculik ketika berjoging di taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Seri Damansara pada 10 Jun lalu.

Sekumpulan penjenayah menyembunyikan mangsa di sebuah rumah di Taman Kosaso di sini.
Sekumpulan penjenayah menyembunyikan mangsa di sebuah rumah di Taman Kosaso di sini.

"Suspek telah meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta (RM154 juta) daripada keluarga mangsa namun wang tersebut belum dibayar kepada kumpulan penjenayah itu.

"Suspek juga mendakwa mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh tiga atau empat hari selepas diculik," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa mengenali dalang kes penculikan itu.

"Kita masih menyiasat motif kejadian dan punca kematian mangsa," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Culik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!