Penderitaan Rohingya semakin parah

Mohd Hakim
Mohd Hakim
A
A
A

SHAH ALAM - Penderitaan yang menimpa etnik Rohingya kini semakin parah apabila negara India dan Bangladesh enggan menerima sebahagian daripada pelarian tersebut mendapatkan perlindungan di negara terbabit.

Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, keengganan India menerima pelarian itu berlaku selepas penganut agama Hindu menggesa pengusiran besar-besaran etnik Rohingya untuk kembali ke Myanmar.

Jelas beliau, India telah bertindak menghantar pulang minoriti Islam itu secara paksa ke Myanmar walaupun berdepan dengan kritikan tegas daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia.

“Di Bangladesh pula, keadaan yang sememangnya sesak dengan pelarian Rohingya sebelum ini telah menyebabkan negara tersebut terpaksa membekukan kemasukan lebih ramai lagi pelarian Rohingya ke sana.

“Hal ini diperakui sendiri oleh Menteri Luar Negeri Bangladesh, AH Mahmood Ali sebelum ini yang menyifatkan negaranya mengalami kesulitan menangani krisis ini dan ia menimbulkan kekangan untuk menyediakan tempat bagi menampung kira-kira satu juta pelarian di sana,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Hakim berkata, perlunya usaha bagi membantu masyarakat Rohingya daripada terus dihimpit krisis kemanusiaan dengan menyediakan sebuah tempat untuk mereka didiami dengan aman tanpa gangguan pihak luar.

“Serantau Muslim berharap PBB dan pihak berwajib yang lain dapat bersama-sama dalam menangani isu ini daripada terus parah. Myanmar juga seharusnya lebih bersifat terbuka dan bertoleransi dalam isu perkauman dan agama ini kerana pelarian-pelarian ini merupakan sebahagian penduduk asal negara mereka.

“Dalam masa yang sama, walaupun Serantau Muslim merasakan negara India, Bangladesh masing-masing ada alasan tersendiri untuk menolak pelarian Rohingya ini, namun diharapkan kedua-dua negara ini dapat melindungi pelarian ini untuk sementara waktu sehingga segala masalah berkaitan dapat diselesaikan dengan aman,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu juga, Serantau Muslim ingin mengalu-alukan orang ramai menyumbang kepada minoriti Islam Rohingya ini dengan melayari www.untukmurohingya.com.