Liverpool bukan lagi kelab sejarah

Liverpool berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Liverpool berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
A
A
A

Liverpool tidak boleh lagi dilabel sebagai kelab sejarah selepas The Reds berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, sejarah kelab itu tidak lagi menjadi beban buat pemain dan kini sedang dalam rentak terbaik untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

"Sejarah sekarang adalah latar belakang yang indah buat kami dan ia adalah asas tentang apa yang sedang kami usahakan ketika ini.

"Ketika saya pertama kali datang ke kelab ini, saya pernah katakan bahawa jangan bandingkan kami dengan orang-orang hebat yang bermain untuk kelab ini pada zaman dulu.

"Apa yang saya dan pasukan perlukan adalah sokongan daripada peminat dan pengurusan untuk menjadikan kami berjaya seperti hari ini," katanya.

Liverpool sebelum ini dilabel oleh banyak pihak sebagai kelab sejarah dengan penyokong mereka hanya menyandarkan dan mengagungkan kejayaan menggondol pelbagai kejuaraan sebelum era baharu EPL bermula.

Namun, badi kelab sejarah itu mungkin boleh dilupakan apabila Liverpool yang kini menjadi pasukan gergasi dunia berjaya menamatkan penantian 30 tahun mereka menjulang trofi EPL, semalam.

Untuk rekod, gelaran Liga Inggeris yang diraih musim ini adalah yang ke-19 buat kelab Merseyside tersebut, tetapi 18 di antaranya diraih sebelum era EPL.

Artikel Berkaitan:

"Kejuaraan ini berjaya dicapai kerana semua tetap sabar menunggu hasil yang akan tiba. Menguruskan pasukan bola sepak itu bukanlah sesuatu yang mudah dengan orang ramai mahu melihat hasil yang cepat.

"Kami tidak mahu terlalu meminta tempoh yang lama dan perlu segera membuktikannya. Semua menyedari langkah yang kami buat terutama penyokong dan ini adalah hadiah untuk mereka," ujar Klopp.