RM9.25 juta selesai isu rumah generasi kedua Felda terbengkalai

Nazri (dua dari kiri) dan Mohd Sharim (tiga dari kiri) pada sidang media malam tadi.
Nazri (dua dari kiri) dan Mohd Sharim (tiga dari kiri) pada sidang media malam tadi.
A
A
A

PEKAN - [DIKEMASKINI] Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM9.25 juta bagi menyelesaikan masalah projek perumahan generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di gugusan Chini yang terbengkalai.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, peruntukan berkenaan bagi menyiapkan projek perumahan generasi kedua yang terbengkalai dan disiapkan kurang 70 peratus.

"Kini tumpuan akan diberikan kepada perumahan generasi kedua.

"Sebelum ini projek perumahan melebihi 70 peratus siap diberi keutamaan tetapi kali ini kita akan membaiki projek perumahan yang disiapkan bawah 70 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni masyarakat Felda Chini Timur 3 malam tadi. Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Mengulas mengenai PRK DUN Chini, beliau optimis calon BN menang bergaya pada 4 Julai nanti.

Katanya, ini kerana seramai 17,313 daripada lebih 20,000 pengundi berdaftar di Chini adalah pengundi kalangan warga Felda manakala bakinya pengundi dari kampung tradisi.

"Gabungan undi Felda dan kampung tradisi pasti membolehkan calon tersebut menang bergaya, namun itu bukan tiket untuk Mohd Sharim berasa selesa, sebaliknya perlu memberi perhatian terhadap pengundi kampung tradisi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, bagi memastikan kemenangan tercapai, Mohd Sharim perlu memastikan isu-isu membabitkan warga peneroka Felda dan generasi kedua Felda selesai dan diberi jaminan penyelesaian.

"Ini termasuklah masalah perumahan generasi kedua Felda, isu gaji peneroka di bawah pengurusan Felda Technoplant Sdn Bhd dan isu air yang dikehendaki warga Chini.

"Saya melihat calon bersama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja memberi tumpuan kempen hanya di kawasan Felda, tetapi juga di kawasan kawasan kampung tradisi. Gabungan itu saya optimis calon kita akan menang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberi jaminan peneroka Felda di bawah Pengurusan Felda Technoplant Sdn Bhd tidak lagi berdepan masalah potongan kos operasi yang tinggi sehingga menjejaskan gaji minimum RM1,100 seperti ditetapkan kerajaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN Penduduk mohon selesaikan isu rumah generasi kedua