EMGS pasarkan Jenama Pendidikan Malaysia

EMGS ditubuhkan sejak lapan tahun lalu di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang berperanan memasarkan Jenama Pendidikan Malaysia. - FOTO ROSLI TALIB
EMGS ditubuhkan sejak lapan tahun lalu di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang berperanan memasarkan Jenama Pendidikan Malaysia. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Education Malaysia Global Services (EMGS) memperhebatkan pameran secara dalam talian bagi mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia kepada pelajar antarabangsa untuk menyambung pelajaran di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, pameran dalam talian menjadi medium terbaik ketika seluruh dunia berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) berbanding pameran secara bersemuka sebelum ini.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara 10 negara yang menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk menyambung pelajaran di peringkat pendidikan tinggi.

“EMGS ditubuhkan sejak lapan tahun lalu di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang berperanan memasarkan Jenama Pendidikan Malaysia selain menguruskan permohonan, pemprosesan dan pembaharuan visa pelajar antarabangsa.

“Terdapat 20 universiti awam yang menawarkan tempat pengajian dan separuh daripada 446 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia mempunyai lesen daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kemasukan pelajar antarabangsa.

“Kami bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia bukan sahaja dikenali tapi diketahui ada menyediakan perkhidmatan pendidikan tinggi dengan kemudahan bertaraf dunia,” katanya pada majlis perjumpaan bersama CEO EMGS di sini kelmarin.

Mohd Radzlan (depan, dua dari kiri) bersama pengurusan tertinggi EMGS. - - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Radzlan (depan, dua dari kiri) bersama pengurusan tertinggi EMGS. - - FOTO ROSLI TALIB

Mohd Radzlan berkata, Malaysia menerima jumlah pelajar antarabangsa tertinggi dari China dan Indonesia, manakala bidang pengajian yang dipilih berbeza mengikut negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pameran pendidikan dalam talian itu mendapat maklum balas positif dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pelajar antarabangsa akan mengikuti pengajian secara maya sehingga 31 Disember ini.

“Selepas pintu negara dibuka, mereka akan dibenarkan masuk mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“EMGS juga menambah baik beberapa perkhidmatan berkaitan dalam memastikan industri pendidikan di Malaysia terus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.