X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia melantun semula untuk dibuka tinggi

Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi pagi ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi pagi ini mendapat rangsangan daripada permintaan belian baharu dalam kaunter produk pengguna dan juga sejajar dengan prestasi kebanyakan bursa serantau lain, kata para peniaga.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.84 mata kepada 1,494.04 daripada paras penutup 1,489.20 pada Khamis.

Indeks itu dibuka tinggi naik 2.77 mata kepada 1,491.97.

Keseluruhan suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 311 berbanding 135, manakala 251 kaunter tidak berubah, 1,265 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 532.90 juta saham bernilai RM164.91 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini menjangkakan aktiviti membeli saham murah terpilih dijangka berlaku hari ini selepas tiga hari berturut-turut pasaran mencatatkan penurunan, apabila pelabur mencari saham berharga rendah.

“Pemulihan juga dijangka seiring dengan perkembangan positif di Wall Street semalaman ditambah dengan harga minyak mentah tinggi, namun pergerakan mungkin terhad berikutan kekurangan petunjuk positif yang baharu memandangkan pelabur masih bimbang dengan peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia dan prospek ekonomi lemah,” kata firma pembrokeran itu.

Sementara itu, ia berkata, pasaran saham Amerika Syarikat melantun semula daripada sesi lemah sebelum ini apabila Dow Jones meningkat 1.2 peratus di atas sokongan tuntutan pengangguran baharu yang lebih rendah daripada dijangkakan, manakala bacaan akhir suku pertama keluaran dalam negara kasar 2020 menguncup sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM7.63, TNB naik empat sen kepada RM11.62, Public Bank meningkat 12 sen kepada RM16.50 manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM6.33 dan RM5.38.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, AT Systematization meningkat dua sen kepada 17 sen, AT Syatematization naik satu sen kepada 10 sen, Technodex menokok setengah sen kepada 6.5 sen manakala Vivocom Intl tidak berubah pada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 37.50 mata kepada 10,512.26, Indeks FBMT 100 naik 35.41 mata kepada 10,364.50 dan FBM 70 menambah 51.46 mata kepada 12,877.71.

Indeks FBM Emas Shariah naik 34.14 mata kepada 11,920.96 manakala FBM ACE meningkat 32.89 mata kepada 6,176.18.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.44 mata kepada 134.05, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 24.60 mata kepada 12,825.20 tetapi Indeks Perladangan susut 0.35 mata kepada 6,684.10. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus