X

Kindly register in order to view this article
!

JKM kesan waris bayi dan kanak-kanak

JKM meminta waris kanak-kanak dan bayi terlibat tampil membantu urusan penempatan mereka.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang giat mengesan waris kepada 10 individu termasuk dua bayi yang sedang ditempatkan di JKM Klang, Petaling Jaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Di JKM Klang, waris kepada Muhamad Rafiq Irfan, 3 bulan, dan seorang lagi bayi berusia empat bulan dicari bagi urusan penempatan kedua-duanya.

Menerusi satu kenyataan, Muhammad Rafiq ditemui pekerja pembersihan sampah tanpa sebarang dokumen dan masih berada dalam keadaan bertali pusat dengan dibaluti selimut di Gerai Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Seri Andalas, 9 Mac lalu.

"JKM mendapatkan Perintah Jagaan Sementara di bawah Subseksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001 dan bayi itu ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras, Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, bayi berusia empat bulan pula ditinggalkan di Wad SCN Level 4 oleh ibu kandungnya selepas dilahirkan pada 13 Februari lalu dan ibu kandung bayi itu datang sekali sahaja melawatnya pada 18 Februari lalu.

"Pelindung bayi juga telah menghubungi ibu kandung supaya hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang untuk perbincangan lanjut, namun tidak berjaya dan diharap waris terdekat dapat tampil membantu urusan penempatan bayi ini," katanya.

JKM Petaling Jaya pula meminta waris kepada tiga kanak-kanak, Bryan Lee Jun Ming, 2, dan Sophie Ng Shu, 4, yang ditinggalkan ibunya, seorang warga Filipina sejak September tahun lalu kepada seorang rakan di Ipoh selain seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Adam Hariz yang ditinggalkan ibu kandungnya tanpa sebarang dokumen.

"Ibu kandungnya seorang warga Indonesia pernah berjanji untuk datang semula ambil kanak-kanak itu namun sehingga kini tidak munculkan diri," katanya.

Sementara itu, JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sedang mengesan waris bayi, Muhammad Dayyan Rizki, 5 bulan, yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya kepada penjaga tanpa sebarang dokumen kelahiran atau penjagaan yang sah.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta menghubungi JKM WPKL dengan segera," katanya.

Dalam kes berkaitan, JKM WPKL juga meminta orang ramai bagi membantu mengesan waris kepada Noor Haslina, 13, Norman Abdullah, 16, Muhd Johari Abdullah, 14, dan Amieruddin, 10, bagi membantu urusan penempatan mereka selepas ini.

Katanya, orang ramai diminta menghubungi JKM WPKL sekiranya mempunyai maklumat mengenai waris individu tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf