Kuasa pendanaan awam

A
A

PENDANAAN awam (crowdfunding) bukanlah perkara baharu. Ia merujuk kepada kutipan dana daripada saudara mara, sahabat, rakan sekerja, mahupun orang ramai untuk melaksanakan sesuatu perkara atau projek.

Satu kebiasaan dalam masyarakat kita jika seseorang, terutamanya orang yang dikenali, ditimpa musibah, kita akan membuat kutipan yang biasa juga dipanggil tabung derma kilat bagi meringankan beban pihak yang ditimpa musibah itu.

Ada yang menggunakan masjid sebagai wadah untuk mengadakan kutipan selepas solat fardu.

Dengan kemajuan teknologi internet dan kuasa tular melalui media sosial, konsep pendanaan awam kini semakin berkembang. Selain bertujuan kebajikan, pendanaan awam juga digunakan untuk mendapatkan modal perniagaan dengan cara yang lebih inovatif.

Malah, akhir tahun lepas, pihak kerajaan juga telah melancarkan skim pemilikan rumah baharu yang dikenali sebagai “FundMyHome” dengan menggunakan konsep pendanaan awam untuk membiayai pemilikan hartanah.

Melalui skim ini, pembeli hanya perlu membayar 20 peratus daripada nilai hartanah; selebihnya dibiayai oleh pelabur melalui kerangka pembiayaan rakan setara atau peer-to-peer (P2P).

Selain memudahkan pemilikan rumah bagi yang belum mempunyai hartanah, ia turut dirangka khusus untuk menyelesaikan isu kediaman tidak terjual yang keseluruhannya bernilai lebih RM22 bilion.

Saya teringat satu kes yang kami kendalikan pada awal Februari 2015, selepas Kelantan dilanda banjir besar, antara yang terburuk di negara kita sehingga menyebabkan kemusnahan dalam skala yang agak besar. Pihak Macma Kelantan turut serta dalam misi membantu mangsa banjir di Manik Urai, Kuala Krai.

Ketika melawat mangsa banjir di Kampung Mesek, kampung yang agak terpencil di Manik Urai Lama, kami terlihat seorang wanita yang ketika itu sedang berbaring dengan leher berbalut dan kepala disandarkan pada beberapa bantal yang disusun bertindih.

Setelah disiasat, kami mendapat tahu wanita tersebut mempunyai masalah slip disc pada tulang leher dan baru keluar dari Hospital USM. Rumahnya dan beberapa rumah lain telah roboh sama sekali akibat banjir. Lantaran itu, dia hanya baring di atas para kayu, di bawah khemah tidak berdinding yang didirikan di atas jalan tar di depan rumah asalnya yang telah roboh.

Ketika itu, kami sedang dalam proses mengusahakan pam untuk menyedut air dari sungai dan menapisnya sebelum disalurkan ke sebuah tangki dan seterusnya ke rumah-rumah berkedekatan sementara menunggu bekalan air pulih. Selain itu, kami juga sedang mencari dana untuk membina rumah baharu bagi keluarga terbabit.

Apabila ditanya apa yang dia perlukan segera ketika itu, dia mengatakan dia inginkan katil yang boleh diangkat naik dan turun seperti di hospital untuk membolehkannya baring dengan selesa.

Saya lantas menghubungi Syarikat Mama Dent Enterprise di Kota Bharu untuk bertanyakan harga katil tersebut dan seterusnya menghubungi sahabat saya, Kapten Zak, melalui aplikasi WhatsApp untuk berusaha mendapatkan dana bagi memenuhi keperluan wanita tersebut.

Pada petang yang sama, Kapten Zak pula menghubungi Hayati Ismail melalui WhatsApp, aktivis kemanusiaan yang gigih mengusahakan 'Free Market’. Kemudiannya, Hayati pula menghubungi sahabat aktivis beliau, Syed Azmi Alhabshi.

Pada jam 11.25 malam 7 Februari 2015, Syed Azmi telah memuat naik status Facebook memohon bantuan membeli katil hospital berharga RM2,900 untuk keperluan wanita tersebut. Alhamdulillah, dalam masa 17 minit sahaja, permohonan sumbangan melalui pendanaan awam ini ditutup kerana jumlah yang diperlukan telah tercapai.

Setelah dimaklumkan tentang perkara tersebut, pihak Macma Kelantan segera mengeluarkan cek untuk membuat pembelian. Syarikat Mama Dent juga dengan segera membuat penghantaran hanya dengan bukti gambar cek yang dihantar melalui WhatsApp.

Dalam tahun yang sama, Macma Kelantan dengan kerjasama Persatuan Bekas Putera MTD (OPA), juga telah berjaya mendapatkan dana bagi mendirikan rumah baharu untuk wanita tersebut dan beberapa keluarga lain di Kampung Mesek. Alhamdulillah.

Ini hanyalah contoh bagaimana kita dapat memanfaatkan teknologi dan media sosial untuk kebaikan. Saya juga terharu dan berbangga kerana masih ramai individu yang berhati mulia, sanggup membantu sesama insan melalui pendanaan awam ini walaupun berlainan bangsa dan agama dan tidak saling mengenali.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.