X

Kindly register in order to view this article
!

21,901 pelajar di Terengganu kembali ke sekolah

Salim turut memeriksa suhu badan pelajar sewaktu memantau sesi persekolahan hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 21,901 pelajar Tingkatan Lima dan Enam dari 152 sekolah menengah di Terengganu mula mengikuti sesi persekolahan hari ini setelah lebih tiga bulan ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, 16,864 orang ialah pelajar Tingkatan Lima manakala pelajar Tingkatan Enam seramai 5,037 orang.

Selain itu, sejumlah 22,319 guru di negeri ini turut kembali bertugas merangkumi 10,386 guru sekolah menengah dan 11,933 guru sekolah rendah.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani turut melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini bagi melihat sendiri kelancaran sesi persekolahan di samping melihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Seramai 196 pelajar Tingkatan Lima dan 214 pelajar Tingkatan Enam sekolah itu mula hadir ke sekolah hari ini.

Salim meninjau keadaan bilik darjah di SMK Sultan Sulaiman.
Salim meninjau keadaan bilik darjah di SMK Sultan Sulaiman.

Hasil tinjauan mendapati sekolah itu mula dibuka seawal jam 6.45 pagi di mana terdapat guru yang bertugas untuk memeriksa suhu serta memastikan pelajar, guru dan kakitangan sokongan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki sekolah sambil dibantu pengawal keselamatan bertugas.

Difahamkan sebuah jawatankuasa dibentuk bagi memastikan kelancaran dan pematuhan SOP di sekolah itu membabitkan empat ke lima guru bertugas secara bergilir di setiap pintu masuk sekolah pada waktu ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Nornizam Johari yang juga Pegawai Perhubungan Sekolah SMK Sultan Sulaiman berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk memantau pematuhan SOP di samping membantu pihak pentadbiran sekolah sekiranya ada keperluan atau isu yang perlu ditangani.

"Setiap kelas mempunyai antara 10 hingga 24 pelajar bergantung kepada keluasan kelas dan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya 1 meter.

"Pematuhan asas seperti mengambil suhu badan kepada pelajar, guru dan kakitangan sokongan juga dibuat. Kita akan terus memantau secara berkala bagi memastikan keselamatan warga sekolah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!