KPM belum ada keputusan buka sekolah rendah

Muslimin bertanya sesuatu kepada seorang pelajar selepas melakukan lawatan dan tinjauan di SMK Sungai Besar hari ini.
Muslimin bertanya sesuatu kepada seorang pelajar selepas melakukan lawatan dan tinjauan di SMK Sungai Besar hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pembukaan sekolah rendah seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya berkata, pembukaan sekolah rendah masih dalam peringkat perancangan dan hanya akan dibuka semula tertakluk kepada keadaan semasa koronavirus (Covid-19) negara ini.

"Setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara ini," katanya selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun sekolah rendah belum memulakan sesi persekolahan namun semua guru perlu berada di sekolah bagi menjalankan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).

"Mereka (guru) tetap terus membuat kajian keperluan murid dan sekiranya murid tidak mempunyai akses pembelajaran secara dalam talian, kita minta guru datang ke rumah menghantar lembaran kerja.

"Ini sebahagian daripada norma baharu dan paling penting kita prihatin dengan keperluan pembelajaran serta melaksanakan tugasan seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, Muslimin berkata, keputusan pembukaan prasekolah lebih awal berbanding sekolah rendah dicapai selaras dengan keputusan membabitkan dua kementerian lain.

"Keputusan ini dipersetujui Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakatnya (Kemas) dan Tabika Perpaduan melalui Kementerian Perpaduan Negara.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga-tiga kementerian ini mengambil keputusan mengikuti panduan SOP yang sama dan mula buka pada 1 Julai ini," katanya.