X

Kindly register in order to view this article
!

PKR dakwa Pas gagal pacu pertumbuhan ekonomi Terengganu

A
A

KUALA TERENGGANU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mendakwa kerajaan negeri gagal memacu pertumbuhan ekonomi negeri ekoran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara tiga tercorot berbanding negeri lain.

Ketua Penerangan PKR Terengganu, Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif berkata, ia berdasarkan laporan pertumbuhan 2.5 peratus KDNK mengikut Laporan Poket Stats Negeri Terengganu Suku Ketiga 2019 Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Malaysia.

Beliau mendakwa, keadaan itu menunjukkan Terengganu di bawah pemerintahan Pas tidak mempunyai perancangan bersungguh-sungguh dan tiada pelan efektif dalam mempertingkatkan daya saing ekonomi negeri.

“Setelah 22 bulan mentadbir negeri (sebelum pengisytiharan PKP bermula 18 Mac 2020), kerajaan Terengganu dilihat gagal memacu pertumbuhan ekonomi negeri. KDNK Terengganu (menurut laporan itu) merupakan antara yang terendah atau tercorot dalam pertumbuhan KDNK negeri-negeri di Malaysia.

“Purata KDNK Malaysia adalah 4.7 peratus (paras nasional) dengan enam buah negeri telah berjaya melepasi paras tersebut termasuk Perak yang mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.3 peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, jika dibandingkan belanjawan Terengganu dan Perak pada 2018 dan 2019, Perak memperuntukkan belanjawan negeri yang jauh lebih kecil berbanding Terengganu yang kaya dengan sumber asli seperti minyak dan gas.

“Pada 2018 dan 2019, belanjawan Perak hanyalah RM1.17 bilion dan RM1.06 bilion. Manakala belanjawan Terengganu adalah RM1.996 bilion dan RM2.015 bilion.

“Angka ini menunjukkan kerajaan Terengganu memperuntukkan perbelanjaan yang besar, iaitu 100 peratus lebih tinggi berbanding Perak dalam mengurus negeri tetapi penghasilan KDNK Terengganu adalah 100 peratus lebih rendah berbanding Perak,” katanya.

Beliau berkata, faktor perubahan kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan faktor utama yang mempengaruhi prestasi ekonomi negeri.

“Kita tidak menafikan faktor perubahan berlaku, namun ada juga negeri yang turut mengalami perubahan tampuk pemerintahan namun masih mengekalkan KDNK seperti Johor dengan 5.6 peratus.

“Perkara ini wajar mendapat perhatian kerana kita (Terengganu) merekodkan perbelanjaan yang besar,” katanya bagi mengulas lanjut kenyataan yang disiarkan pada 19 Jun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kecekapan pengurusan ekonomi perlu menjadi keutamaan bagi sesebuah negeri untuk terus maju, berdaya saing seterusnya mensejahterakan rakyat.

“Sebagai pembangkang kita juga wajar mendapatkan maklum-balas sahih kerana rakyat berhak dapat yang terbaik daripada kerajaan. Setiap teguran dibuat untuk sama-sama membaiki negeri dan prestasi ekonominya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!