Dua penjenayah gagal samun kedai emas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI PETANI – Cubaan dua individu untuk menyamun sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim di sini gagal selepas panik apabila penggera keselamatan berbunyi setelah memecahkan ruang pameran barangan kemas dengan tukul besi, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.06 pagi itu, dua suspek yang memaki topi keledar berpenutup gelap masuk ke premis yang baru memulakan perniagaan dan mengacukan senjata menyerupai pistol ke arah seorang pekerja manakala seorang lagi memecahkan ruang pameran kaca dengan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek gagal menarik keluar dulang barang kemas apabila penggera keselamatan berbunyi dan terus melarikan diri.

“Bagaimanapun, tiada tembakan dilepaskan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, polis masih giat mengesan dua suspek itu dengan salah seorang berbadan gempal manakala seorang lagi berbadan kecil berdasarkan keterangan saksi dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas itu.

Katanya lagi, kedai emas itu sebelum ini juga pernah disamun dengan kerugian kira-kira RM200,000 pada pertengahan Disember lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun.-Bernama

Artikel Berkaitan: