Naratif abah timbulkan tanda tanya

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

BEBERAPA tahun lalu, saya diundang oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur untuk menyertai program tahunan mereka, iaitu bengkel mengenai naratif keganasan, yang dirangka khas untuk warga media, anjuran bersama oleh kedutaan itu dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Penglibatan saya dalam program itu memberi saya kesedaran bahawa ‘naratif’ (daripada bahasa Inggeris, narrative, bermakna penceritaan), apabila disusun rapi secara terancang, boleh menjadi satu strategi yang berkesan untuk mempengaruhi pihak lain (sasaran naratif) agar ia tertarik menyokong apa yang disebutkan dalam naratif itu.

Saya teringat pengalaman silam itu baru-baru ini apabila seorang sahabat menyerahkan kepada saya satu rencana ‘Naratif Abah’ tulisan seorang blogger yang jelas tidak selesa dengan trending baharu dalam media sosial ini.

Pandemik

Yang melegakan saya adalah naratif baharu ini masih lagi pada tahap trending, belum lagi memuncak ke tahap tular.

Yang dimaksudkan dengan naratif abah ini adalah amalan baharu dalam kalangan segelintir pihak menggelarkan beberapa tokoh pemimpin negara kita dengan panggilan mesra seperti abah, pak long, pak ngah, pak su dan sebagainya.

Antara contoh terawal naratif abah ini yang saya temui dalam ruang siber adalah sepucuk ‘Surat Terbuka Kepada Abah’ oleh Muhsin Latheef kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), kini boleh dibaca dalam portal https://thethirdforce.net

Bila saya kemukakan perkara ini kepada beberapa orang sahabat pada minggu lalu sambil bertanyakan pendapat mereka, ada yang menyatakan mereka tak ada masalah dengannya, ada yang berasa kurang senang, dan ada pula yang mengatakan bahawa perkara ini hanya sementara, tidak akan bertahan lama.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa terdekat, ia akan berlalu dan segera dilupakan. Tak semua yang trending akan kekal, kata mereka lagi.

Kajian saya minggu lalu mendedahkan bahawa naratif abah ini wujud juga di India.

Pada 4 Februari lalu, seorang pelajar wanita warga India telah mendaftar diri di sebuah universiti di Milan, Itali.

Malang baginya, tidak lama selepas itu, negara itu dilanda pandemik Covid-19 dan pusat pengajiannya ditutup.

Perkara ini segera dimaklumkan oleh pelajar itu kepada bapanya, Sujay Kadam, penduduk kota Mumbai.

Khuatir tentang keselamatan anaknya, Sujay kemudian meminta anaknya segera pulang ke India.

Malangnya ini suatu perkara yang sukar dilakukan kerana seluruh Itali dikenakan lockdown.

Pada 12 Mac, Sujay menghubungi kedutaan India di Itali lalu meminta pertolongan mereka.

Dia terkejut apabila pada keesokkan harinya kedutaan itu memberitahunya bahawa anaknya dibenarkan berangkat pulang ke India pada 14 Mac.

Ini berlaku kerana Perdana Menteri India telah memainkan peranan penting menyelesaikan isu itu. Pada 15 Mac, anaknya tiba di India lalu terus dikuarantin – semuanya ditanggung oleh kerajaan India.

Sebuah akhbar India kemudian memetik Sujay sebagai berkata: “Selama ini saya fikir saya seorang sahaja bapa anak saya. Tapi kini Narendra Modi adalah bapa kedua anak perempuan saya.”

Layak

Pada 10 Jun lalu, sebuah akhbar tempatan menyiarkan berita di bawah tajuk Malaysia in Deft Hands of Abah Muhyiddin, sambil memuji prestasi 100 hari TSMY sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia. Mengikut akhbar itu, TSMY layak dipanggil abah.

Terdahulu, pada 29 Mac, sebuah portal berita menyatakan bahawa TSMY ‘berjaya menambat hati rakyat berbilang kaum’ di negara ini, yang menyebabkan ramai dalam kalangan warganet menggelar beliau Bapa Keprihatinan dan memanggilnya abah. Rencana itu diberi tajuk Stay Safe Abah.

Gelaran abah yang diberikan warganet kepada Muhyiddin susulan keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat berbilang kaum di negara ini.
Gelaran abah yang diberikan warganet kepada Muhyiddin susulan keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat berbilang kaum di negara ini.

Pada 1 April 2020 lalu, Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan TSMY seperti seorang ayah dalam memberi nasihat agar rakyat negara ini selamat daripada pandemik Covid-19.

Tambah beliau, perbuatan ‘memperkecilkan ayah kita seumpama suara-suara hasutan’ kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai tanggungjawab menyelamatkan negara.

Akhbar Sinar Harian keluaran 24 April 2020 lalu menyiarkan berita seorang pemuda Mohamad Aqef Aizaq (19 tahun) menyiapkan lukisan potret TSMY menggunakan pensel dengan tajuk Terima Kasih Abah.

Teguran

Baru-baru ini, sempena menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-73, laman Facebook TSMY dibanjiri ucapan ‘Happy birthday abah Muhyiddin Yassin’.

Seperti saya katakan di atas tadi, tidak semua orang di negara ini selesa dengan naratif abah ini. Ini lumrah alam; rambut sama hitam, tapi hati lain-lain.

Pihak yang kurang senang dengan naratif abah ini menyatakan bahawa seorang ketua (pemimpin) itu dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat.

Panggilan abah atau gelaran lain yang sama dengannya akan menyukarkan orang awam membuat teguran atau memberi nasihat andainya mereka silap atau gagal menjalankan tugas dengan baik.

Blogger Faisal Tehrani berkata, dalam coretannya yang panjang bertajuk Mahu Negarawan, Bukan Abah, menegaskan bahawa; “Urusan negara adalah urusan serius. Kita semua berhak bertanya dan mempersoalkan. Mereka (pemimpin) mesti menjawab kita.”

Kata seorang sahabat dari Pulau Pinang, naratif abah yang trending sekarang ini timbul secara spontan daripada pelbagai lapisan masyarakat (orang politik, orang awam biasa, orang akhbar, peniaga, warganet).

Ia bukan suatu amalan yang dirancang rapi oleh seorang individu atau kumpulan tertentu untuk menaikkan imej pemimpin tertentu – seperti yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu dalam sejarah politik negara kita.

Oleh itu, kata sahabat ini lagi, kita tak perlu khuatir atau rasa sangsi.

Saya kira pandangan yang paling menarik dan lucu saya terima datang daripada seorang ahli akademik di universiti tempatan.

Katanya kepada saya Ahad lalu: “Abah jangan gelabah, kerana pak ngah dah mengah, pak su mula lesu, pak tam nak pitam, pak teh dah letih, dan pak cik peluh mercik.”

* Profesor Datuk Salleh Buang ialah Pakar Undang-Undang