Beri peluang PN berkuasa hingga habis penggal

Setiap hari selepas selesai mempengerusikan mesyuarat, Ismail Sabri akan berbincang mengenai isi kandungan sidang media dengan Setiausaha Akhbar beliau, Datuk Ruhaidini
Abd Kadir (duduk di kanan) dan para pegawai Strategi Komunikasi Pejabat Perdana Menteri.
Setiap hari selepas selesai mempengerusikan mesyuarat, Ismail Sabri akan berbincang mengenai isi kandungan sidang media dengan Setiausaha Akhbar beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir (duduk di kanan) dan para pegawai Strategi Komunikasi Pejabat Perdana Menteri.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya diberikan mandat penuh untuk mentadbir Malaysia sehingga tamat penggal Parlimen.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, perkara itu mungkin tidak berlaku kerana permainan dan tekanan politik pembangkang.

“Ini kerana pembangkang masih lagi memberikan tekanan, bercakap soal mahu menumbangkan kerajaan hari ini dan mahu membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Sedangkan mereka tahu rating Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tinggi kerana rakyat yakin kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama Sinar Ahad yang turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ia berlaku ekoran kemelut politik hingga menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili Pakatan Harapan (PH) meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.

Muhyiddin kemudian membentuk kerajaan PN terdiri daripada ahli Parlimen daripada Bersatu yang menyokong beliau termasuk serpihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel Berkaitan:

Turut sama menganggotai kerajaan PN ialah ahli-ahli Parlimen daripada UMNO dan Pas.

Bagaimanapun, kerajaan yang baru dibentuk itu berhadapan dengan cabaran getir apabila negara turut dilanda Covid-19 yang menyebabkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dibuat.

Keutuhan kerajaan PN sekali teruji apabila pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen menyaksikan jumlah sebenar ahli Parlimen PN yang membentuk kerajaan baharu adalah seramai 113 orang.

Sementara itu, PH hanya mempunyai seramai 107 ahli Parlimen dan dua lagi merupakan ahli Parlimen bebas.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kedudukan Muhyiddin pada ketika ini terletak pada tangan ahli Parlimen dan bukan di tangan rakyat.

“Kalau di tangan rakyat, tiada isu tetapi oleh kerana di tangan ahli Parlimen, perbezaan jumlah antara ahli Parlimen (PN dan PH) tidak banyak.

“Sebab itu saya berpandangan, kalau itulah kehendak pembangkang, maka lebih baik kita serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Sebab pembangkang (PH) kata mereka diterima rakyat dan kita (PN) kata kita diterima rakyat. Jadi biar rakyat tentukan siapa yang betul-betul mereka terima,” katanya.