X

Kindly register in order to view this article
!

Utamakan masa depan pekerja

Laporan bank tempatan yang menjangkakan peratus pengangguran di negara kita kemungkinan akan mencapai sehingga enam peratus atau lebih, memberi gambaran keadaannya amat membimbangkan.
A
A

BIARPUN situasi penularan wabak coronavirus (Covid-19) di negara kita dilihat semakin pulih dengan kebanyakan sektor perniagaan telah kembali rancak menjalankan aktiviti masing-masing, masalah penggangguran bagaimanapun tetap menjadi isu yang serius sehingga hari ini.

Mengulas isu ekonomi negara akibat Covid-19, Sin Chew Daily percaya peningkatan jumlah pengganggur dalam tempoh beberapa bulan akan datang adalah satu cabaran baharu yang perlu dihadapi semua pihak.

Menurut akhbar itu, laporan bank tempatan yang menjangkakan peratus pengangguran di negara kita kemungkinan akan mencapai sehingga enam peratus atau lebih memberi gambaran keadaannya amat membimbangkan.

“Begitu juga dengan amaran yang diberikan oleh Persekutuan Majikan-majikan Malayia (MEF) mengenai dua juta rakyat dijangka hilang kerja selepas Hari Raya Aidilfitri. Kenyataan ini cukup mengejutkan,” kata akhbar itu melalui ruangan lidah pengarangnya.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac sehingga dilanjutkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemuli-han (PKPP) yang dijangka berakhir pada 31 Ogos depan, banyak sektor perniagaan terpaksa menamatkan operasi masing-masing.

Berikutan keadaan semakin tenat, pihak majikan akhirnya terpaksa mengurangkan jumlah pekerja dan tidak kurang juga melakukan pemotongan gaji terhadap pekerjanya sehingga 50 peratus.

“Buat masa ini, aktiviti ekonomi negara telah kembali bergerak secara perlahan-lahan. Bagaimanapun, kemampuan golongan peniaga untuk menghadapi situasi terbaharu ini bakal teruji.

“Agak membimbangkan kemungkinan akan berlaku lagi pembuangan pekerja secara ramai-amai. Begitu juga akan ada lebih banyak syarikat terpaksa menamatkan perniagaan akibat menanggung kerugian yang besar,” kata akhbar itu lagi.

Akhbar itu berpendapat, majikan perlu membantu kerajaan dengan memastikan kebajikan pekerja mereka terbela di samping membolehkan kerajaan menumpukan perhatian bagi memerangi Covid-19.

Dalam pada itu, lidah pengarang Nanyang Siang Pau turut mengulas isu pembua-ngan pekerja yang dijangka mengganggu proses pemuli-han ekonomi negara untuk jangka masa yang lebih panjang.

Kata akhbar itu, kerajaan telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan menyediakan program subsidi upah untuk membantu pihak majikan mengekalkan pekerja.

“Namun terdapat majikan beranggapan subsidi yang diberikan kerajaan itu tidak mencukupi sebaliknya lebih gemar memilih tindakan membuang pekerja sebagai usaha menjimatkan kos.

“Inilah apa yang terjadi pada hari ini apabila begitu ramai rakyat kini dibuang kerja dan keadaan ini akan berlaku secara berterusan untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” kata akhbar tersebut.

Kata Nanyang Siang Pau, bagi golongan pekerja, mereka berharap nasib mereka sepatutnya dibela ketika berlakunya kemelesetan ekonomi.

Walaupun undang-undang telah termaktub untuk melindungi pekerja, namun majikan tetap mempunyai hak untuk membuang pekerjanya sekiranya keadaan memaksa.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!