Libatkan pakar, pembangkang

Sudah tiba masanya untuk kerajaan merangka satu rancangan menyeluruh serta jangka masa panjang untuk memerangi Covid-19 secara habis-habisan.
Sudah tiba masanya untuk kerajaan merangka satu rancangan menyeluruh serta jangka masa panjang untuk memerangi Covid-19 secara habis-habisan.
A
A
A

DALAM usaha mengekang penularan Covid-19, selain kerajaan, penglibatan semua pihak termasuk pakar perubatan dan parti-parti pembangkang juga perlu bagi memastikan segala perancangan diatur membuahkan hasil.

Demikian saranan dibuat oleh Sin Chew Daily melalui ruangan Lidah Pengarang baru-baru ini.

“Seperti yang dinyatakan oleh pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram, salah satu masalah utama yang dihadapi pihak kerajaan dalam usaha menyekat penularan Covid-19 adalah kurang pendekatan daripada semua pihak termasuk pentadbiran dan agensi awam.

“Pandangan beliau harus disambut baik oleh kerajaan. Sekiranya perancangan kera-jaan tidak disertai pihak pembangkang, ia tentu sukar mendapat kejayaan seperti yang diharapkan.

“Oleh itu, cadangan mengadakan mesyuarat untuk berbincang bagaimana memerangi Covid-19 secara lebih berkesan melibatkan lebih banyak pihak termasuk pemimpin kerajaan, ahli akademik dan ahli korporat adalah dialu-alukan,” tulis akhbar itu.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan proklamasi darurat selepas menerima cadangan daripada kabinet.

“Bermula daripada hari berkenaan, tiada sidang Parlimen diadakan menyebabkan semua ahli Parlimen termasuk ahli-ahli pembangkang tidak dapat menyalurkan sebarang cadangan memerangi Covid-19 kepada Parlimen.

“Kini segala tanggungjawab hanya dipikul kerajaan, namun kedudukan kerajaan pula dilihat agak goyah kerana jumlah kerusi majoriti yang diperoleh hanya dibezakan beberapa kerusi dengan parti pembangkang.

Artikel Berkaitan:

“Kedudukan kerajaan yang kurang stabil akan menyebabkan segala usaha dilakukan kerajaan tidak lancar dan gagal mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pembangkang,” kata akhbar itu lagi.

Sin Chew Daily tidak ketinggalan melakukan perbandingan jumlah kes Covid-19 sebelum dan selepas pengisytiharan darurat. Ternyata, Covid-19 di Malaysia jauh lebih serius selepas pengisytiharan darurat berbanding sebelumnya.

“Kes pertama Covid-19 di negara kita mula dikesan pada 25 Januari 2020. Selepas 350 hari iaitu setakat 11 Januari tahun ini, jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 138,224 kes dengan purata 395 kes sehari.

“Sebaliknya, bermula 12 Januari selepas pengisytiharan darurat sehingga 20 April lalu selama 100 hari, jumlah kumulatif kes sudah pun meningkat kepada 242,249 dengan purata 2,412 kes sehari.

“Perangkaan itu jelas menunjukkan jumlah kes baharu telah meningkat sehingga 6.1 kali ganda berbanding sebelum proklamasi darurat. Oleh itu, kerajaan perlu melipat gandakan usaha agar semua pihak perlu dikerah memerangi pandemik ini secara bersama,” kata akhbar itu.

Menurut Sin Chew Daily lagi, kita tidak boleh terlalu banyak menyerahkan tanggungjawab kepada beberapa individu sahaja seperti Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri kabinet lain.

“Sepatutnya kerajaan menyerap lebih ramai pakar perubatan dan parti pembangkang kerana mereka mampu membantu memberi idea dan sumbangan bermakna.

“Ketika mengumumkan proklamasi darurat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Sehubungan itu, kini sudah tiba masanya untuk kerajaan merangka satu rancangan menyeluruh serta jangka masa panjang untuk memerangi Covid-19 secara habis-habisan,” tulis akhbar itu.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian