PKR perlu keluar daripada PH: ADUN Sungai Acheh

Hantaran di Facebook, Zulkifli Ibrahim.
Hantaran di Facebook, Zulkifli Ibrahim.
A
A
A

NIBONG TEBAL- Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu ada maruah untuk keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang selepas dikhianati oleh rakan sekutu sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) secara terang-terangan menolak pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan ia tidak seharusnya diterima pimpinan dan anggota PKR.

Menurutnya, sebagai sebuah parti yang berprinsip, PKR harus berpendirian tegas dan mengecam komponen PH yang seolah-oleh seperti kacang lupakan kulit.

"Ini adalah sekali lagi satu bentuk pengkhianatan kepada Anwar oleh komponen PH.

"Saya berpandangan, atas dasar prinsip dan idealisme perjuangan, wajiblah PKR di Pulau Pinang untuk segera ambil ketetapan dengan keluar dan menarik balik sokongan ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana keengganan DAP dan Amanah untuk mengangkat Presiden PKR sebagai calon Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan terbuka yang disiarkan di Facebook hari ini.

Zulkifli berkata, bukan sahaja di Pulau Pinang malah PKR di Selangor dan Negeri Sembilan juga harus keluarkan ADUN DAP dan Amanah daripada pentadbiran kerajaan negeri kerana telah mengkhianati matlamat PKR untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, PKR sanggup menggantung, memecat anggota dan pimpinan parti yang jelas berjasa selama ini hanya kerana sedikit persoalan dalam matlamat menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Namun dalam situasi sekarang, Zulkifli mempersoalkan adakah PKR hanya mampu 'menikus'.

Artikel Berkaitan: