Pengubahan wang haram: Permohonan Ahmad Maslan didengar 9 Julai

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Julai untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu yang dihadapinya.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapannya hari ini.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah memfailkan hujahan berhubung permohonan anak guamnya di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar mengesahkan perkara itu.

Mohd Mukhzany Fariz yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan pagi ini.

Ahmad,54, didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu didakwa telah menerima wang itu daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama