Warga Indonesia larikan diri selepas positif Covid-19 berjaya dikesan

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Dua warganegara Indonesia yang dilapor melarikan diri selepas didapati positif koronavirus (Covid-19) semalam berjaya dikesan lewat malam tadi dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kedua-dua individu itu yang merupakan pasangan suami isteri ditemui di sebuah kawasan perumahan baharu di tepi Jalan Matang Baru kira-kira jam 11.15 malam.

“Kedua-duanya telah dibawa oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan dan rawatan susulan,” katanya dalam satu mesej WhatsApp kepada media hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyatakan kedua-dua warga asing berkenaan melarikan diri selepas menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai syarat untuk memohon permit kerja mereka di sini.

Kehilangan mereka disedari pasukan Kementerian Kesihatan semasa menjalankan langkah susulan untuk mengesan kontak rapat dan mencari punca jangkitan. - Bernama

Artikel Berkaitan: