Lima PATI diselamatkan, bot dinaiki bocor

Lima PATI warga Indonesia diselamatkan selepas bot nelayan dinaiki tenggelam akibat masalah kebocoran di perairan Hutan Melintang hari ini.
Lima PATI warga Indonesia diselamatkan selepas bot nelayan dinaiki tenggelam akibat masalah kebocoran di perairan Hutan Melintang hari ini.
A
A
A

IPOH - Lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terpaksa diselamatkan selepas bot dinaiki mereka tenggelam akibat mengalami kebocoran di perairan Hutan Melintang, hari ini.

Kejadian itu berlaku ketika tindakan pengusiran mahu dilakukan sekitar jam 9.40 pagi tadi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan National Task Force (NTF) berkata, sekitar jam 9.05 pagi, bot PETIR 80 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengesan bot dinaiki lima lelaki berkenaan di perairan itu yang dalam perjalanan ke Bagan Sungai Burung, Selangor.

Katanya, maklumat penahanan telah dipanjangkan ke KM Malawali bagi tindakan pengusiran, bagaimanapun sementara menunggu, bot nelayan asing terbabit tenggelam akibat bocor.

"Krew PETIR 80 kemudiannya bertindak menyelamatkan warga asing berkenaan.

"Siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebocoran sama ada akibat disengajakan atau sebaliknya," katanya.

Menurut kenyataan itu, kelima-lima warga asing terbabit dibawa ke Hutan Melintang bagi menjalani ujian swab sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sitiawan untuk saringan koronavirus (Covid-19).

"Mereka akan diletakkan di pusat transit sementara di Pejabat Daerah dan Tanah Manjung sehingga keputusan ujian diperolehi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan sama memaklumkan, NTF menerusi Op Benteng tetap komited memperkasa perbatasan daratan dan maritim negara daripada sebarang pencerobohan PATI bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Meskipun berdepan cabaran perairan negara yang luas, rakyat diminta untuk terus menjadi mata dan telinga NTF dengan menghubungi Pusat Operasi NTF 011-62511223 bagi melaporkan sebarang aktiviti berkaitan PATI," katanya.