Terengganu teliti bantuan RM500 nelayan

Azman (tiga, kanan) ketika sesi pertemuan bersama nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini, semalam.
Azman (tiga, kanan) ketika sesi pertemuan bersama nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan bantuan 'one-off' sebanyak RM500 kepada 10,000 nelayan berdaftar sempena musim tengkujuh di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan dikemukakan oleh Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) itu akan dipertimbangkan sewajarnya.

Menurutnya, ia adalah susulan pengurangan bantuan sara hidup nelayan yang sebelum ini diberi sebanyak RM300 oleh Kerajaan Persekutuan dan dikurangkan kepada RM200.

"Permohonan ini belum lagi diluluskan, kita baharu terima dan akan bincangkan di peringkat kerajaan negeri dari segi kemampuan kewangan dan sebagainya kerana ia melibatkan peruntukan keseluruhan sekitar RM5 juta.

"Apa pun, dasar kerajaan negeri, memang kebajikan rakyat adalah keutamaan kita. Insha-ALLAH, kita doakan yang terbaik," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini, semalam.

Turut hadir, Adun Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dan Pengarah LKIM Negeri, YM Tengku Mohd Anuar.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya akan membawa isu penahanan 12 nelayan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu atas kesalahan menggunakan pukat tunda di kawasan larangan kepada pihak atasan.

"Saya secara peribadi telah mengemukakan rayuan khusus kepada Menteri Pertanian (Datuk Salahuddin Ayob) supaya perkara ini diambil perhatian.

Artikel Berkaitan:

"Kalau boleh kita minta supaya lesen mereka tidak dibatalkan dan peralatan mereka tidak dirampas.

"Bagaimanapun, kita perlu hormati undang-undang yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985 dan kesalahan ini tak dapat dielak daripada dikenakan kompaun. Namun, kita harap denda yang dikenakan adalah paling minimum," katanya.

Sebelum ini, 12 nelayan itu ditahan di kawasan berkedudukan lima batu nautika dari Kampung Mangkuk, Setiu kerana menggunakan pukat tunda di zon larangan.