173,000 pekerja Malaysia di Singapura berisiko dibuang kerja

Penutupan pintu-pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura di Johor memberi kesan kepada ekonomi kepada negeri itu.
Penutupan pintu-pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura di Johor memberi kesan kepada ekonomi kepada negeri itu.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] Seramai 415,000 rakyat Malaysia terutamanya dari Johor yang bekerja di Singapura berdepan dengan masa depan tidak menentu kesan daripada wabak koronavirus (Covid-19) di republik itu sejak bulan lalu.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, mereka khuatir akan diberhentikan kerja akibat penguncupan ekonomi Singapura terutamanya yang bekerja dalam bidang kemahiran rendah dan gaji minimum.

Hasni mengakui, kebergantungan dinamik ekonomi negeri Johor terhadap Singapura menyebabkan daripada 415,000 warga Malaysia yang bekerja di Singapura, 173,000 orang mungkin akan hilang pekerjaan.

“Majikan di Singapura sekarang lebih suka menggaji rakyat mereka sendiri. Maka rakyat Johor pada masa hadapan akan lebih sukar untuk diterima bekerja di sana,” katanya kepada Sinar Harian.

Berdasarkan tinjauan Penguasa Kewangan Singapura, ekonomi negara itu dijangka menguncup 5.8 peratus pada tahun ini.

Tambah Hasni, ekonomi Johor turut terkesan dengan perkembangan terkini di Singapura sekali gus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor dianggarkan akan menguncup pada kadar 0.8 hingga 1.2 peratus.

Angkara wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu pintu sempadan Malaysia-Singapura yang menjadi pintu masuk lebih 415,000 pekerja Malaysia di Singapura terpaksa ditutup.

Selain kebergantungan kepada Singapura, sektor pelancongan dan perkhidmatan turut menyumbang kepada kelembapan ekonomi Johor.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, begitu juga sektor hartanah Johor yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain larangan kemasukan pelancong dari Singapura ke Malaysia.

Jelasnya, Singapura merupakan 10 negara teratas bagi pembeli hartanah terbanyak di Johor bagi tujuan pelaburan.

Hasni berkata, bagi merancakkan semula ekonomi negeri, projek Singapore-Johor-Riau Growth Triangle akan dijayakan semula yang memberi banyak manfaat kepada penduduk di kawasan-kawasan terlibat.

Langkah itu, katanya, merupakan satu daripada elemen penting dalam Tujuh Ikhtiar Makmur Johor (TIMJ) bagi mengatasi kegawatan ekonomi akibat Covid-19 di negeri ini termasuk dengan peranan proaktif Syarikat Pelaburan Johor di Singapura.

Menerusi TIMJ juga, terdapat Jajaran Ekonomi Baharu yang meneroka potensi di pantai barat Johor dengan mengambil kesempatan pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

“Elemen keenam TIMJ ialah Inisiatif Bank Makanan Johor. Johor harus mula rancak mengeksport produk-produk makanan ke Singapura dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya.

Mengikut statistik, dianggarkan lebih 400,000 rakyat Malaysia kini mencari nafkah di Singapura dengan hampir 250,000 daripada mereka berulang-alik ke negara itu setiap hari menaiki motosikal.

Majoriti mereka keluar-masuk menerusi Tambak Johor dan laluan kedua di Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang.

Dalam pada itu, setakat semalam, Singapura sudah pun mencatatkan 41,216 kes positif Covid-19 dengan 26 kematian.