Ia hanya kurungan sementara: Perhilitan

Penjelasan Perhilitan bersama video yang menunjukkan keadaan sangkar sebenar yang menempatkan ungka itu.
Penjelasan Perhilitan bersama video yang menunjukkan keadaan sangkar sebenar yang menempatkan ungka itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tampil memberi penjelasan berkenaan sebuah artikel berserta gambar dan video yang dimuat naik menunjukkan seekor Ungka Tangan Hitam (Agile Gibbon) dikurung dalam sangkar kecil di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

Perhilitan menerusi akaun rasmi Twitternya, semalam menafikan keluasan kurungan yang kecil itu kerana kurungan sedia ada melebihi daripada saiz kurungan yang ditetapkan oleh Peraturan-peraturan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) (Pindaan) 2013.

“Kurungan (seperti dalam video) itu hanyalah kurungan sementara sebelum ungka dipindahkan ke sangkar yang besar.

“Pihak Perhilitan juga ingin memaklumkan bahawa bahagian bawah kurungan sememangnya tidak mempunyai perabot seperti hidupan liar lain kerana gibbon adalah spesies arboreal yang hanya turun ke bawah untuk minum atau mengutip sisa-sisa makanan yang jatuh di dalam kurungan,” menurut Perhilitan menerusi bebenang di Twitternya.

Perhilitan, dalam masa sama turut memuat naik sebuah video yang menunjukkan keadaan sangkar sebenar yang menempatkan ungka itu.

Pada 5 Jun lalu Friends of The Orangutan, menerusi laman sesawang dan akaun Twitternya, memuat naik sekeping gambar dan video seekor Ungka Tangan Hitam (Agile Gibbon) yang dirakam di bawah kurungan di NWRC.

Artikel berserta gambar dan video berdurasi sembilan saat yang bertajuk 'Appalling video of gibbon raise concerns about PERHILITAN rescue centres, again', itu turut menyatakan bahawa ungka itu ditempatkan dalam kurungan yang kurang perabot dan pengayaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: