X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Moratorium perlu dilanjutkan, rakyat masih terbeban

Gambar kecil: Zaleha Che Kob
A
A

KOTA BHARU - Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan bersetuju dengan cadangan daripada pelbagai pihak untuk memanjangkan lagi tempoh moratorium bank memandangkan keadaan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya.

Ketuanya, Zaleha Che Kob berkata, pihaknya sentiasa menerima aduan masalah dihadapi rakyat terutamanya bebanan yang ditanggung akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

“Rata-rata rakyat yang saya temui bercakap benda yang sama. Mereka bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan yang tidak seberapa.

“Contohnya peniaga pasar malam. Sememangnya bukan perkara yang mudah untuk mereka hadapi situasi sekarang ini. Sebab itu kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk bantu mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan beberapa pihak menyuarakan cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh moratorium bank memandangkan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya.

Antaranya Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan yang melihat tempoh enam bulan tersebut belum mencukupi untuk menstabilkan aliran tunai yang terjejas.

Malah perkara yang sama juga diakui Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor yang berpendapat, jika ia dipanjangkan, ia akan memberi manfaat kepada lebih 14 juta pekerja membabitkan sektor kerajaan, swasta dan bekerja sendiri.

Mengulas lanjut, Zaleha berkata, manfaat tersebut juga turut akan membantu mereka yang dibuang kerja akibat pandemik Covid-19 dan memberi peluang untuk mencari inisiatif lain bagi menggalas bebanan mereka.

“Kita perlu faham, bukan mudah untuk naik balik. Cuma apa yang boleh kerajaan lakukanlah supaya mereka betul-betul stabil.

“Kita tidak mahu negara menghadapi masalah lain pula selepas ini disebabkan oleh pengurusan yang tidak betul melibatkan perancangan ekonomi selepas penularan Covid-19.

“Negara lain juga menghadapi situasi yang sama, ekonomi tidak stabil. Mereka juga ada pelan tersendiri bagaimana untuk memastikan ekonomi stabil dengan tidak meletakkan bebanan kepada kerajaan semata-mata,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!