Jenayah kewangan di Malaysia

A
A
A

Walaupun Malaysia bukan pusat kepada jenayah kewangan antarabangsa, namun itu tidak bermaksud Malaysia tidak mempunyai potensinya yang tersendiri.

Bagi mengelakkan Malaysia daripada menjadi sasaran para penjenayah kewangan antarabangsa serta secara langsung menjadi pusat kegiatan jenayah kewangan antarabangsa, Malaysia telah menggubal pelbagai undang-undang yang munasabah bagi memastikan jenayah berkaitan kewangan dapat diminimumkan.

Antara undang-undang utama berkaitan kewangan yang terdapat di negara ini adalah seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), serta Kanun Keseksaan.

Dalam membuat pertuduhan terhadap jenayah kewangan, ia bukanlah suatu tugas yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dan perlu dibuktikan di mahkamah. Rantaian bukti perlu kukuh bagi memastikan kes-kes yang dibawa ke mahkamah tidak goyah dan mudah untuk dipatahkan oleh pihak pembelaan.

Oleh demikian, amat sukar untuk kes-kes berkenaan jenayah kewangan terutamanya di bawah AMLA dihukum di mahkamah. Baru-baru ini, dilaporkan bahawa individu pertama di negara ini yang dituduh di bawah AMLA pada tahun 2005, Dr Hamimah Idruss dengan nilai pertuduhan sekitar RM41.337 juta, dan hanya pada Februari 2020 sahaja kes ini dapat disimpulkan setelah selesai semua proses rayuan di mahkamah. Bayangkan, kita terpaksa mengambil masa sehingga 15 tahun untuk kes ini disimpul mati.

Kes ini adalah salah satu contoh dalam menunjukkan betapa sukarnya proses pendakwaan dan perbicaraan berkenaan AMLA atau jenayah kewangan ini. Cuma dalam kes ini, pihak pendakwaan sudah berjaya dari awal membuktikan kepada mahkamah bahawa Dr Hamimah Idruss adalah bersalah. Namun ini tidak sentiasa berlaku.

Banyak kes berkenaan jenayah kewangan yang begitu sukar untuk dibuktikan di mahkamah. Malah, ada juga kes-kes yang tidak langsung dibawa ke mahkamah atas pelbagai sebab termasuk kekurangan bukti yang kukuh dalam membuat pendakwaan.

Pendakwaan

Artikel Berkaitan:

Dalam pengalaman saya mengendalikan kes-kes berkenaan perkhidmatan kewangan dan jenayah kewangan, sebenarnya amat sukar dalam memastikan kejayaan sesuatu pendakwaan terhadap jenayah kewangan, terutamanya kesalahan di bawah AMLA. Lantas, undang-undang AMLA mempunyai satu peruntukan khas dan unik berbanding undang-undang jenayah yang lain, di mana AMLA mempunyai peruntukan memberikan kuasa kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenakan kompaun kepada orang yang disyaki.

Nilai kompaun yang bakal dikenakan sudah tentu tidak setinggi jumlah atau nilai yang bakal dibicarakan di mahkamah. Namun, ini cukup untuk mengurangkan risiko kegagalan dalam membuat pendakwaan terhadap kes tersebut dan akhirnya menyebabkan kerajaan gagal untuk mendapat apa-apa hasil daripada kes tersebut.

Malah, tindakan mana-mana orang yang disyaki dalam menerima tawaran kompaun tersebut boleh dianggap di mata awam sebagai satu bentuk pengakuan tidak langsung kerana mereka sanggup membayar kompaun tersebut demi mengelak daripada didakwa dan dibicarakan.

Undang-undang berkenaan jenayah kewangan di negara ini sudah agak baik walaupun ada beberapa kelemahan yang masih perlu diperbaiki. Namun, tidak boleh dinafikan bahawa para penjenayah kewangan juga sentiasa selangkah ke hadapan dan bijak dalam memahami selok-belok jenayah kewangan.

Para penjenayah kewangan amat bijak ketika menjalankan urusniaga dan transaksi masing-masing. Mencari kesempatan pada kesamaran undang-undang dalam memastikan mereka tidak ditangkap mahupun didakwa. Mereka juga sentiasa memastikan tindak-tanduk mereka terlindung daripada sebarang perhatian umum.

Jadi, selepas ini jika kita melihat mana-mana individu didakwa dan kemudiannya dibebaskan, bukanlah bermaksud mereka dibebaskan atas motif politik semata-mata. Kadangkala, alasan-alasan pembebasan ini lebih daripada itu.

Minda rakyat kita telah dirosakkan dengan perkara-perkara sebegini sehingga akhirnya sukar untuk pihak berkuasa termasuk pihak mahkamah untuk berbuat sebarang keputusan.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur