Messi nadi kemenangan Barcelona

Messi
Messi
A
A
A

Bintang Barcelona, Lionel Messi masih disifatkan sebagai lubuk utama gol dan pencetus kemenangan gergasi La Liga berkenaan.

Menurut pengendali Barcelona, Quique Setien, kelibat pemain Argentina dalam setiap perlawanan secara tidak langsung memudahkan bahagian penyudah kelab menjaringkan gol.

“Secara jujur bentuk fizikal Messi sebenarnya banyak membantu kelab melakukan pergerakan mencipta jaringan.

“Messi bukan sahaja menjaringkan gol tapi juga memberikan bantuan gol kepada rakan sepasukan lain.

“Messi menjaringkan gol dan memberikan bantuan gol. Jadi kehadirannya sememangnya memberikan impak positif kepada kelab ini.

“Messi sangat penting bagi kami kerana telah membantu Barcelona secara konsisten. Dia menjaring lebih dari 700 gol. Itulah mengapa dia pemain terbaik dunia dan kami beruntung dia membantu kami,” kata bekas pengendali Real Betis itu.

Bintang Argentina itu tampil menyerlah pada aksi pertama liga ketika membantu Barcelona mengatasi Real Mallorca 4-0 di laman lawan baru-baru ini.

Pada perlawanan itu, Messi menyumbang satu gol diikuti dua bantuan gol selepas liga ditangguhkan hampir tiga bulan akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pemain berusia 32 itu sudah menyumbat 20 gol musim ini sekali gus menjadinya pemain tunggal meledak 20 gol atau lebih dalam 12 musim saingan domestik secara berurutan.

Sementara itu, mengenai prestasi Antoine Griezmann yang berterusan dikritik, Setien berkata, pemain Perancis berkenaan memerlukan masa membentuk keserasian dengan corak permainan Barcelona.

“Tak dapat dinafikan Griezmann adalah pemain hebat dan sudah bermain di Nou Camp sebelum saya datang ke sini.

“Kita juga perlu tahu bahawa Barcelona memiliki pemain sekarang dan saya harus membahagikan minit bermain untuk mereka sama seperti Griezmann,” ujar Setien.

Pada perlawanan itu, Griezmann hanya bermain selama 57 minit sebelum digantikan Luis Suarez yang baru pulih kecederaan.