Bintang badminton India mahu Hafiz Hashim sebagai jurulatih

Sindhu mahu Hafiz menjadi jurulatihnya yang baharu sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto Facebook Hafiz Hashim
Sindhu mahu Hafiz menjadi jurulatihnya yang baharu sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto Facebook Hafiz Hashim
A
A
A

BINTANG badminton wanita India, PV Sindhu mahu bekas juara All-England dari Malaysia, Hafiz Hashim untuk menjadi jurulatihnya yang baharu, sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Agensi berita PTI pada Jumaat melaporkan, juara dunia 2019 itu telah memohon daripada pihak berkuasa sukan India, untuk mendapatkan kebenaran berlatih di bawah bekas jurulatih Malaysia itu.

Hafiz, 40, melepaskan jawatannya sebagai jurulatih bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung tahun lepas dan telah menerima tawaran daripada Akademi Badminton Suchitra di Hyderabad tahun ini.

Sindhu merupakan pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 dan gangsa di Tokyo 2020.

PTI melaporkan pemain berusia 27 tahun itu telah berlatih bersama Hafiz sejak dua minggu lepas di Hyderabad, bagi menghadapi kejohanan Terbuka Kanada minggu hadapan.

"Beliau seorang pemain elit dari India dan berkemungkinan pemain perseorangan wanita tunggal dari negara itu untuk layak ke Sukan Olimpik Paris,” menurut bekas jurulatih kebangsaan India Vimal Kumar, seperti yang dilaporkan PTI. - Bernama