X

Kindly register in order to view this article
!

Keterangan pengeluaran wang tunai kes rasuah Isa Samad boleh dipercayai

Mohd Isa
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa sembilan pengeluaran tunai oleh seorang saksi adalah mencukupi sebagai keterangan boleh dipercayai bagi membuktikan inti pati pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah yang dihadapi bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dalam penghakimannya berkata, bagi sembilan pertuduhan yang dihadapi Mohd Isa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), satu siri pengeluaran tunai oleh seorang saksi pendakwaan, Azizi Abdul Wahab, pemegang saham dan pengarah JV Evolution Sdn Bhd, pada akhirnya telah menyebabkan wang itu diberikan kepada tertuduh sebagaimana yang dinyatakan dalam kesemua pertuduhan.

JV Evolution Sdn Bhd adalah ejen yang dilantik oleh Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) dan bekas pengarahnya ialah Ikhwan Zaidel, 60, untuk menguruskan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh GAPSB, pemilik hotel berkenaan ketika itu.

“Ikhwan kemudian telah menyerahkan wang tunai itu kepada pegawai khas Mohd Isa iaitu Muhammad Zahid Md Arip, yang pada akhirnya memberikan wang tersebut kepada tertuduh sebagaimana yang dinyatakan dalam kesemua sembilan pertuduhan.

“Memandangkan terdapat bukti penerimaan wang tunai itu oleh tertuduh, saya dengan ini mengguna pakai anggapan statutori mengikut Seksyen 50 Akta SPRM untuk disangkal oleh pembelaan dan membuktikan bahawa ganjaran dalam bentuk wang tunai tidak diterima secara rasuah, dan bahawa ia tidak diperoleh sebagai ganjaran atas keterlibatan tertuduh bagi kelulusan oleh lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) berkaitan pembelian MPHS,” katanya.

Hakim itu berkata, pendakwaan telah berjaya mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai bagi membuktikan setiap elemen penting inti pati pertuduhan menerima rasuah mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM seperti dalam kesemua sembilan pertuduhan, yang mana jika tidak disangkal atau dijelaskan akan menyebabkan sabitan.

“Oleh itu, satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap tertuduh berkaitan kesemua sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Mohd Isa daripada satu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapinya membabitkan hotel sama selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.

Mengulas lanjut penghakimannya mengenai kes CBT, Mohd Nazlan berkata, minit mesyuarat ke-10 lembaga pengarah FICSB pada 29 April 2014 dengan jelas menunjukkan bahawa pembelian MPHS pada harga RM160 juta sebenarnya telah diluluskan lembaga pengarah FICSB, dan fakta itu tidak dipertikai.

“Walaupun tertuduh sebagai seorang pengarah FICSB mungkin telah diamanahkan dengan dana syarikat itu, beliau tidak boleh di bawah undang-undang dikatakan sebagai melakukan CBT atas pelupusan dana syarikat bagi pembelian MPHS,” katanya.

Hakim itu berkata, ini bukan hanya kerana tertuduh secara sendirian sebagai pengerusi atau pengarah FIC tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pembelian itu tetapi juga pembelian tersebut telah diluluskan oleh seluruh lembaga yang terdiri daripada tujuh pengarah, lima daripadanya termasuk tertuduh dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, yang menghadiri mesyuarat tersebut.

“Tiada bukti bahawa tertuduh telah mempengaruhi atau meminta ahli lembaga pengarah FICSB yang lain untuk meluluskan pembelian itu.

“Minit mesyuarat yang berkaitan juga tidak merekodkan sebarang perbincangan mengenai perkara itu. Setiausaha syarikat yang mencatat minit juga tidak mendengar sebarang perkara seperti itu,” kata hakim tersebut.

Mohd Nazlan berkata, bagaimanapun, tanggungjawab jenayah di bawah CBT tidak dapat disandarkan pada pelupusan dana syarikat oleh FICSB untuk membiayai pembelian MPHS tanpa kelulusan Felda jika pembayaran pembelian itu telah dipersetujui oleh Felda.

“Pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh berkaitan pertuduhan tunggal CBT. Oleh itu, tertuduh diperintahkan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan CBT ini,” katanya.

Bagi pertuduhan CBT, Mohd Isa didakwa telah meluluskan pembelian hotel itu di Menara Felda di sini pada harga RM160 juta tanpa kelulusan lembaga pengarah Felda pada 29 April 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Selepas keputusan itu diumumkan, Mohd Isa, 71, berkata, beliau akan memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi bagi sembilan pertuduhan rasuah dan beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pendakwaan.

Mohd Nazlan memerintahkan Mohd Isa membela diri pada 17, 18 dan 19 Ogos.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diiringi isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan keluarganya.

Mohd Isa diwakili Datuk Sallehuddin Saidin manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan CBT dan sembilan pertuduhan rasuah.

Kesemua kesalahan rasuah didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC dekat sini antara 29 April 2014 dan 15 Disember 2015.

Mohd Isa, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata beliau akan membela diri terhadap sembilan pertuduhan menerima rasuah lebih RM3 juta yang dihadapinya.

"Saya ada 10 pertuduhan, bagi pertuduhan pecah amanah saya telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu, jadi saya akan bela diri bagi sembilan pertuduhan rasuah dan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah," katanya kepada pemberita.

Salehuddin pula berkata, anak guamnya akan memberikan keterangan di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk beliau mematahkan segala anggapan yang menyatakan beliau menerima wang sogokan seperti dalam pertuduhan.

Peguam itu berkata, Mohd Isa telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan ini bermakna anak guamnya bersedia untuk disoal balas oleh pihak pendakwaan.

"Sekiranya mereka (pendakwaan) nak menyangkal apa yang telah disebutkan nanti, Tan Sri Mohd Isa akan jawab semua persoalan yang bakal dibangkitkan," katanya.

Afzainizam ketika dihubungi berkata, beliau akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara terlebih dahulu sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan bagi pertuduhan pecah amanah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!