X

Kindly register in order to view this article
!

PKPP: Pasar malam tutup jika gagal patuhi SOP

Nolee Ashilin
A
A

TAIPING - Pasar malam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan diarah tutup.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, tindakan tegas seumpama itu perlu diambil bagi memastikan tiada sebarang penularan wabak koronavirus (Covid-19) berlaku.

"Sudah semestinya tindakan tutup diambil sekiranya tidak patuh kerana (kebenaran) kembalinya operasi pasar ini bukan sahaja untuk bantu orang berniaga, tetapi mengembalikan semula keyakinan orang ramai.

"Jadi baik peniaga mahupun pengunjung, kedua-duanya perlu mainkan peranan supaya kita dapat anjurkan SOP paling optima.

"Jika peniaga sahaja yang patuhi SOP, tetapi pelanggan tidak, kita masih boleh kenakan tindakan tutup operasi, begitu juga sebaliknya," katanya ketika ditemui pemberita pada program pembukaan semula Zoo Taiping dan Night Safari di sini hari ini.

Minggu lalu, kerajaan Perak membenarkan pembukaan pasar terbuka seperti pasar malam, pasar pagi, pasar tani dan bazar ria di semua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berperingkat, bermula hari ini.

Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri melalui PBT bersama pasukan penguat kuasa akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan rapi bagi memastikan semua aspek dipatuhi sebaik mungkin.

Menurutnya, SOP bagi setiap operasi pasar berkenaan telah disiapkan dan ditambah baik mengikut lokaliti PBT masing-masing.

"Mungkin ada perbezaan antara satu PBT dengan lain, namun pematuhan asas seperti pendaftaran, penjarakkan sosial, pemeriksaan suhu badan dan laluan masuk serta keluar se hala pengunjung tetap perlu dilakukan secara terkawal.

"Bagi peniaga pula mereka tetap perlu memakai kelengkapan diri antaranya pelitup muka, apron pakai buang dan patuhi kendalian makanan yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, waktu operasi yang disyorkan kerajaan negeri bagi pasar malam adalah dari jam 4 petang hingga 10 malam dan 5 petang hingga 11 malam bagi bazar ria (gerbang malam).

"Pasar pagi dikekalkan mengikut SOP sedia ada sebelum ini antara jam 6 pagi hingga 11 pagi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!