Tiada kes jangkitan Covid-19 berpunca daripada makanan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes penularan wabak koronavirus (Covid-19) berpunca daripada produk makanan segar termasuk ikan yang diimport dilaporkan di negara ini setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia kerana kebiasaannya makanan akan dimasak sekali gus akan membunuh virus jika makanan itu tercemar.

"Virus tidak akan menular melalui makanan kerana haba akan membunuhnya," katanya pada sidang akhbar situasi semasa Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penularan Covid-19 gelombang kedua di Beijing, China yang dipercayai berpunca daripada makanan segar yang diimport.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai terus mengamalkan amalan kebersihan terbaik untuk kekal sihat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia secara sukarela akan melakukan percubaan terhadap vaksin Covid-19 jika penyelidikan yang dilakukan China dengan kerjasama negara ini dalam penghasilan vaksin itu siap sepenuhnya.

"China sudah melakukan fasa satu dan dua ujian klinikal dan laporannya mungkin dimaklumkan pada November atau Disember ini.

"Jika ujian klinikal ketiga memberi keputusan positif, kita akan secara sukarela mencuba vaksin itu," katanya.

Artikel Berkaitan: