Lelaki ditahan selepas cuba larikan diri

Keadaan kereta suspek selepas kejadian.
Keadaan kereta suspek selepas kejadian.
A
A
A

NILAI- Seorang lelaki ditahan polis apabila cuba melarikan diri selepas melanggar sebuah kereta di Bandar Baru Nilai, kelmarin.

Ketua Polis Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, lelaki tersebut dikesan berada di bawah pengaruh alkohol selepas ujian mendapati terdapat 250 miligram bahan berkenaan berada di dalam darahnya.

"Dalam kejadian jam 11.15 malam, suspek berusia 36 tahun itu memandu dalam keadaan melulu di Jalan Persiaran Pusat Bandar berhampiran sebuah pasar raya.

"Setibanya di lokasi iaitu di persimpangan lampu isyarat, kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek merempuh belakang sebuah kereta jenis Nissan Almera," katanya kepada Sinar Harian.

Susulan itu, beliau berkata, suspek telah melarikan diri sejauh lima kilometer sehingga ke Pajam.

Bagaimanapun, katanya, tindakan suspek itu berjaya dipatahkan anggota polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"Suspek seterusnya berjaya ditahan, bagaimana pun telah dijamin oleh seorang ahli keluarga dan akan dipanggil semula untuk pertuduhan di mahkamah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: