KPPUM cadang sistem imbas MyKad di pusat mengundi

Zamil (kanan) bersama Presiden KPPUM, Ahmad Husam Baderudin ketika kempen daftar pemilih anjuran NGO itu.
Zamil (kanan) bersama Presiden KPPUM, Ahmad Husam Baderudin ketika kempen daftar pemilih anjuran NGO itu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM) mencadangkan agar sistem imbas Mykad (Thumb Scanner) ditempatkan di pusat mengundi bagi mengenal pasti MyKad palsu atau tulen, seterusnya mengekang kewujudan pengundi hantu.

Timbalan Presidennya, Zamil Ibrahim berkata, ia antara cadangan KPPUM untuk penambahbaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka semakin hampir.

Menurutnya, pihaknya berharap cadangan itu dipertimbangkan oleh kerajaan untuk dilaksanakan pada PRU15.

“Sepatutnya kerajaan menukar MyKad sedia ada kepada MyKad baharu, namun oleh kerana PRU15 semakin hampir kami mohon agar kerajaan dapat menyarankan kepada SPR untuk menerima cadangan berkenaan, untuk sistem yang lebih telus selain mengatasi kebimbangan rakyat yang risau isu MyKad mutakhir ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Zamil berkata, sudah tiba masanya kerajaan serius bertindak bagi memastikan warga asing tidak dijadikan sebagai pengundi hantu.

“Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewajarnya ditempatkan ketika mengimbas pendaftaran sebelum seseorang itu dibenarkan mengundi agar tindakan segera dapat diambil jika ada bukan warganegara memiliki MyKad datang untuk mengundi,” katanya.

Menurutnya, semakan terperinci harus dilakukan di setiap pusat mengundi bagi memastikan tiada pengundi warganegara asing memiliki MyKad dengan nama mereka dipalsukan.

“Ini dapat mengelak warga asing yang diberikan MyKad secara haram dibenarkan mengundi. Ia susulan dakwaan MyKad dipercayai dijual kepada warganegara China dan India untuk mereka mengundi parti tertentu bagi memastikan parti terbabit memenangi pilihan raya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zamil berkata, cadangan lain termasuk mengadakan sesi temuramah untuk memastikan pengundi benar-benar rakyat Malaysia.

Pada 7 Jun lalu, SPR memaklumkan pendaftaran untuk pengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah persiapan SPR selesai termasuk penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.

Kesemua persiapan itu dijangka selesai selewat-lewatnya Julai tahun hadapan.

Kenyataan itu sekali gus menafikan maklumat tular yang mengajak rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.