Kariah tidak dapat solat Jumaat tidak berdosa: Mufti Selangor

Kelihatan seorang jemaah beredar selepas tidak dapat menunaikan Solat Jumaat ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini. -Foto Bernama
Kelihatan seorang jemaah beredar selepas tidak dapat menunaikan Solat Jumaat ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kariah yang tidak mendapat jemputan atau terpilih untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid tidak wajib menunaikannya dan hukumnya tidak berdosa.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, bagaimanapun solat Jumaat itu perlu digantikan dengan solat Zohor di kawasan masing-masing.

Menurutnya, umat Islam perlu akur dengan ketetapan bilangan jemaah dihadkan kepada 40 orang di 39 masjid di Selangor yang berkuat kuasa hari ini.

"Keputusan itu mengambil kira perkembangan terkini wabak koronavirus (Covid-19) yang masih belum ada penawarnya. Langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berdasarkan prinsip maqasid syariah.

"Kita perlu akur walaupun ketetapan ini amat berat untuk diterima oleh semua umat Islam. Namun ulil amri bertanggungjawab melaksanakan langkah pencegahan demi menjaga kemaslahatan umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kaedah fiqh menyebut menghindarkan perkara yang membawa kerosakan adalah lebih utama dari mendapatkan kebaikan.

"Marilah sama-sama kita berdoa kepada ALLAH SWT agar wabak ini segera diangkat dan kita semua dapat menunaikan solat Jumaat dengan lebih banyak masjid yang akan dibuka," katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan masjid dan surau di Selangor dibuka bagi solat Jumaat dan solat lima waktu secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Sebagai permulaan, baginda berkenan untuk menambah bilangan jemaah solat Jumaat daripada 12 orang kepada 20 orang (tidak termasuk pegawai) di 39 masjid yang dibenarkan termasuk masjid negeri, lima Masjid Diraja, sembilan masjid daerah dan 24 masjid naik taraf.