Covid-19: 33 kes baharu, satu kes kematian direkodkan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 33 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dan satu kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 33 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import dan 17 penularan dalam negara.

"Sebanyak 14 kes penularan dalam negara melibatkan warga asing dan tiga kes rakyat tempatan," katanya.

Menurutnya, tiga kes melibatkan rakyat tempatan adalah satu kes saringan kontak kepada kes positif kes ke-7735 di Kuala Lumpur, satu kes saringan pusat tahfiz di Selangor dan satu kes saringan kepada kes kematian di dalam komuniti seperti dilaporkan di atas iaitu kes kematian ke-119.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di adalah sebanyak 8,402 kes dan hanya 1,115 kes yang masih dirawat di hospital," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak empat kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Pertambahan kes kematian Covid-19 melibatkan wanita warga emas berumur 85 tahun.

"Dia meninggal dunia di rumah semalam dan jenazah dibawa ke Hospital Keningau.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan Covid-19 dilakukan dan mendapati dia positif Covid-19," katanya.

Pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 119 kes.

Sementara itu, KKM merekodkan 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 7,168 kes bersamaan dengan 85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.