Solat Jumaat ikut kapasiti ruang solat di lapan masjid kekal

Solat Jumaat di Masjid Negeri.
Solat Jumaat di Masjid Negeri.
A
A
A

SEREMBAN - Pelaksanaan solat Jumaat bagi lapan masjid yang telah dibenarkan mengikut kapasiti ruang solat masjid sebelum ini diteruskan seperti biasa hari ini manakala masjid lain kekal dengan jumlah terhad 12 jemaah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia selaras dengan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

"Perkara itu juga selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan Muzakarah (Khas) Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.

"Sukacita dimaklumkan, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah memperkenankan semua masjid di negeri ini beroperasi berdasarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi solat Jumaat bermula pada 19 Jun," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Lapan masjid yang dibenarkan solat Jumaat mengikut kapasiti ruang solat ialah Masjid Negeri, Masjid At-Taqwa Kampung Paroi, Masjid Kariah Paroi Jaya, Masjid Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat di Seremban, Masjid Kariah Bunga Tanjung di Jelebu, Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Sijang di Port Dickson, Masjid Tuanku Muhriz di Jempol dan Masjid Jamek Gemas di Tampin.

Dalam kenyataan sama, Aminuddin turut mengingatkan semua jemaah agar mengamalkan disiplin kendiri seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kebenaran menunaikan solat Jumaat tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

"Sekiranya masjid tersebut terletak di dalam kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19, maka masjid tersebut tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat berdasarkan kapasiti ruang solat masjid.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan setiap aktiviti di masjid yang dibenarkan perlulah mematuhi garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan. Kebenaran ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa berkaitan kawalan pengurusan pandemik Covid-19 di negeri ini," katanya.