Penduduk bimbang tanah rizab kembali diteroka

Penduduk bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir menunjukkan kesan tanah rizab yang diteroka untuk pemasangan pagar.
Penduduk bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir menunjukkan kesan tanah rizab yang diteroka untuk pemasangan pagar.
A
A
A

TAMBUN - Penduduk Panorama Tambun Perdana (The Dales) di sini meluahkan kebimbangan dan kecewa apabila tanah seluas 3.2 hektar di kaki bukit Gunung Panjang berhampiran kediaman telah diteroka buat kali ketiga sejak 2011.

Wakil penduduk, Wong Pek Yin berkata, tanah rizab milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu mula ditarah bagi tujuan pemasangan pagar, Khamis minggu lalu.

Menurutnya, tindakan pihak kontraktor itu dilihat mencurigakan apabila kerja-kerja pembersihan kawasan itu didakwa tidak mengikut sempadan rizab tersebut.

“Kami diberitahu pihak MAIPk kontraktor sama 2017 kembali melakukan kerja-kerja pembersihan untuk pemasangan pagar dengan kemasukan jengkaut.

“Selain itu, disahkan bahawa tiada kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan kerja-kerja pembinaan tambahan kawasan hutan yang dibersihkan itu jauh dari sempadan. Tindakan itu amat menimbulkan kecurigaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pek Yin berkata, penduduk membantah sebarang kegiatan dilakukan di kawasan terbabit yang dilihat mengancam kestabilan bukit batu kapur itu.

“Jabatan Mineral dan Geosains Perak telah mengesahkan bahawa bukit itu dipenuhi dengan enapan kolluvium yang terdiri daripada bongkah batu kapur dan tanah yang lembut di mana ia sensitif dengan gangguan fizikal.

“Kontraktor menggunakan jentera berat untuk menggali kaki bukit merupakan gangguan fizikal kaki bukit dan pasti akan mempengaruhi kestabilannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mencadangkan agar tanah rizab terbabit dipindahkan dan mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon penampan semula jadi kekal.

Sebanyak 102 tandatangan penduduk berjaya dikumpul dan telah mengemukakan bantahan mereka melalui petisyen bertarikh 9 Jun kepada pelbagai pihak berkuasa, termasuk Pejabat Sultan Perak, Menteri Besar, Pejabat Tanah dan Galian Negeri, MAIPK, Majlis Bandaraya Ipoh, dan Jabatan Alam Sekitar Negeri.

Pada masa sama, pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman menggesa kawasan itu diwartakan sebagai kawasan perlindungan bukit batu kapur.

“Bila diwartakan, akan ada agensi yang mengawal selia kawasan ini. MAIPk pemilik tanah ini tetapi mereka tiada kepakaran untuk melindungi kawasan itu.

“Adalah lebih wajar digazetkan dan ia tidak sukar kerana MAIPk sendiri di bawah kerajaan negeri dan perlu ditukar sebagai kawasan perlindungan di bawah kelas kepentingan persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia maklum berkaitan aduan penduduk terbabit dan tindakan akan diambil berkaitan perkara tersebut.